Dua PPS dibuka di Klang susulan air pasang besar

Astro Awani
September 28, 2022 03:10 MYT
Penduduk di Kampung Sungai Sireh dipindahkan ke PPS berdekatan akibat banjir yang melanda kawasan itu pada pagi Rabu. -Foto Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang
KLANG: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dibuka susulan kejadian air pasang besar dan hujan lebat awal pagi tadi.
Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, mangsa banjir dari Kampung Delek Baru dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek.
Sementara itu, mangsa banjir dari Kampung Sungai Sireh Tambahan pula dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sireh.
"Mangsa banjir yang memerlukan bantuan boleh hubungi wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau terus ke PPS berkenaan.
"Laporkan sebarang kejadian banjir kepada talian perhubungan bencana Daerah Klang yang disediakan," tulis kenyataan itu pada Rabu.
Dalam kenyataan berasingan, PTD Klang memaklumkan ketinggian air di dua kawasan dalam daerah tersebut iaitu Bandar Klang dan Tugu Keris berada dalam paras bahaya setakat jam 7.15 pagi, manakala Kampung Rantau Panjang pada tahap berjaga-jaga.
Namun kemas kini setakat jam 9 pagi menunjukkan ketiga-tiga kawasan tersebut kini berada dalam tahap berjaga-jaga.
#PPS #hujan lebat #air pasang besar #Pejabat Tanah dan Daerah Klang