SHAH ALAM: Sebanyak 75 orang daripada 26 keluarga mangsa banjir di Kuala Selangor dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) sejak malam tadi susulan hujan lebat petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor memaklumkan kesemua mereka berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Jaya Setia dan Balai Raya Parit Mahang.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan aras sungai Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor pula melepasi paras bahaya dengan 27.1 meter, namun dalam trend menurun setakat 9 pagi ini.

-- BERNAMA