Dua PPS lagi dibuka, mangsa banjir di Perak melonjak kepada 301 orang

Abd Razak Mohd Ali
Disember 20, 2021 01:38 MYT
Anggota bomba memindahkan mangsa banjir yang terperangkap di Changkat Jong. - Foto JBPM
TELUK INTAN: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) baharu dibuka di dua daerah di Perak iatu Hilir Perak dan Muallim sejak malam tadi, menyaksikan jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 301 orang sehingga 8 pagi Isnin.
Di Hilir Perak, PPS baharu dibuka di Dewan Bandaran Teluk Intan yang menempatkan 63 mangsa dari 19 keluarga.
Kesemua mangsa adalah dari Batu 7 1/2, Lorong Mesra; Batu 9 Changkat Jong; Batu 10 Jalan Bidor dan Bati 15 Kampung Ayer Hitam.
PPS di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Batu 4, Changkat Jong yang dibuka pagi semalam pula menempatkan 140 mangsa banjir dari 35 keluarga.
Di Muallim pula, sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Kuala Slim malam tadi untuk menempatkan 39 orang mangsa dari 11 keluarga.
Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muallim, PPS itu yang dibuka jam 7 malam tadi menempatkan mangsa dari Kampung Kuala Slim.
#banjir #mangsa #PPS #Perak