KANGAR:Dua individu yang merupakan rakan karib didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis methamphetamine dan ganja, September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Firdaus Abdullah, 21 tahun, dan Mohd Zamidi Mat, 31 tahun.

Kedua-duanya hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamariza Mat Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis metamphetamine seberat 126 kilogram (kg) di Felda Rimba Mas, Padang Besar, kira-kira jam 12.15 pagi, 2 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didapati mengedar dadah jenis ganja seberat 100kg pada tarikh dan lokasi yang sama.

Susulan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29B (2).


Mahkamah menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes selepas mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Joydia Por Yi Tying, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Pada 3 September lalu, tiga individu termasuk dua beranak ditahan bersama 100kg ketulan mampat ganja dan 126kg syabu yang dimuatkan ke dalam lima karung guni dan 18 beg di Felda Rimba Mas.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad menjelaskan, ketiga-tiga mereka dipercayai mengetuai rangkaian sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan ganja bernilai RM6.58 juta.