MALAYSIA

Dua remaja maut kemalangan tiga kenderaan di Tumpat

Bernama 20/09/2025 | 11:25 MYT
Kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha Ego SI dari arah Tumpat menuju ke Kota Bharu. - Gambar hiasan
TUMPAT: Dua remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Wakaf King, Tumpat, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata kejadian berlaku pukul 10.10 malam ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha Ego SI dari arah Tumpat menuju ke Kota Bharu.

"Sebaik tiba di lokasi, motosikal itu dipercayai melanggar belakang sebuah motosikal lain yang membelok ke kanan untuk masuk ke stesen minyak sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Exora.

"Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemboncengnya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tumpat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal kedua yang dilanggar beredar dari tempat kejadian dan polis kini sedang mengesannya bagi membantu siasatan lanjut.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat atau Pegawai Penyiasat, Insp Mohd Ikhwan Mamat, di talian 09-7257222.

-- BERNAMA

#kemalangan maut #remaja #motosikal #Tumpat