AMPANG: Dua buah rumah musnah manakala dua kenderaan rosak akibat kebakaran yang berlaku di Lorong Merbau 3, Kampung Melayu Ampang di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.47 pagi.
Advertisement
"Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang tiba di lokasi kira-kira empat minit selepas panggilan diterima.
"Operasi pemadaman melibatkan anggota BBP Ampang dengan bantuan BBP Pandan Indah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B berkeluasan 30 x 60 kaki persegi yang terbakar kira-kira 90 peratus.
"Kebakaran itu turut merebak ke sebuah lagi rumah berkeluasan 20 x 60 kaki persegi yang terbakar kira-kira 50 peratus.
"Kebakaran turut melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Xpander terbakar kira-kira 60 peratus manakala sebuah lagi kenderaan Hyundai terbakar kira-kira 10 peratus," katanya.
Menurutnya, kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa atau kecederaan.
"Operasi melibatkan seramai 15 anggota bomba menggunakan dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah water tanker.
"Api berjaya dikawal sebelum kerja-kerja pemadaman dan overhaul dijalankan," katanya.
Tambahnya, setakat ini jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - Sinar Harian