Dua rumah runtuh di Gambang awal pagi ini - Bomba

Mohd Zalani Md Atan
Januari 5, 2021 00:43 MYT
Bomba mengarahkan pemilik rumah berhampiran untuk berpindah ke tempat lebih selamat kerana terdapat unsur berbahaya.
KUANTAN: Dua buah unit berkembar di Taman Gambang Damai di sini runtuh dalam satu kejadian awal pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Anaur Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.40 pagi tadi.
Setibanya di lokasi, 13 pegawai dan anggota mendapati dua buah rumah berkeluasan 40 kali 140 kaki tersebut telah musnah 100 peratus.
Komander operasi turut mengarahkan pemilik rumah berhampiran untuk berpindah ke tempat lebih selamat kerana terdapat unsur berbahaya.
Pusat gerakan operasi telah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan seterusnya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Kata Anaur, operasi di tempat tersebut kini terkawal.
Bencana | Dua rumah di lereng bukit runtuh
#JBPM Pahang #bomba #rumah runtuh #Anaur Hassan #pindah #JKR #TNB #Taman Gambang Damai #Gambang #Kuantan