MALAYSIA

Dua sahabat didakwa rompak berkumpulan

Sinar Harian 05/01/2026 | 06:40 MYT
Dua sahabat didakwa atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan. -Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang penunggang motosikal wanita bulan lalu.


Ringkasan AI
  • Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita penunggang motosikal bulan lalu.
  • Mereka didakwa merompak dan cuba mengambil gelang emas serta beg duit milik wanita tersebut di Jalan Batu Tinggi, Kok Lanas pada Disember lalu.
  • Kes itu menarik perhatian masyarakat selepas rakaman litar tertutup menunjukkan suspek cuba merompak wanita dengan motosikal, menyebabkan wanita itu terjatuh sebelum barang berharga mangsa dirampas.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Kedua-dua penganggur berkenaan, Mohammed Sanusi Dollah, 43, dan Azahar Hussin, 54, didakwa di hadapan Hakim, Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan cubaan mengambil harta milik pekerja kedai perkakas rumah iaitu seutas gelang tangan emas san sebuah beg duit sehingga mendatangkan kecederaan terhadap wanita tersebut.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Batu Tinggi, Kok Lanas di sini pada jam 6.20 petang, 22 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Kamarul Hasyimie tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada mereka kerana tuduhan serius yang dihadapi.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Kes ditetapkan pada 19 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular rakaman televisyen litar tertutup di media sosial memaparkan sebuah motosikal ditunggang seorang wanita dihimpit sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Penumpang depan kereta cuba menarik barang berharga mangsa, namun mangsa menepis sebelum terjatuh dari motosikal.

Suspek kemudian keluar dari kereta dan mengejar wanita itu sehingga ke hadapan sebuah kedai ayam gunting serta sekali lagi cuba menarik gelang emas di tangan mangsa.

Semasa suspek berlari untuk memasuki kereta, orang awam berjaya merampas kembali beg duit mangsa sebelum lelaki itu menaiki kereta dipandu seorang lagi suspek dan melarikan diri. -Sinar Harian




Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tuduhan yang dihadapi oleh Mohammed Sanusi Dollah dan Azahar Hussin di Mahkamah Sesyen?
    A: Mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang penunggang motosikal wanita bulan lalu.
  • Q: Di mana perbuatan rompakan berkumpulan tersebut dilakukan?
    A: Perbuatan itu dilakukan di Jalan Batu Tinggi, Kok Lanas pada jam 6.20 petang, 22 Disember lalu.
  • Q: Apa hukuman yang mungkin dikenakan kepada kedua-dua tertuduh sekiranya disabitkan kesalahan?
    A: Mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
  • Q: Mengapa Timbalan Pendakwa Raya tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh?
    A: Tidak dicadangkan jaminan kerana tuduhan yang dihadapi oleh kedua-dua tertuduh adalah serius.
  • Q: Apakah tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh?
    A: Kes ditetapkan pada 19 Januari untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.



#rompakan berkumpulan #penunggang motosikal #Jalan Batu Tinggi Kok Lanas #Mohammed Sanusi Dollah #Azahar Hussin