[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
NATIONAL

Dua sahabat mengaku tidak salah rompak enam kedai serbaneka

Bernama 28/05/2025 | 11:20 MYT
Majistret Rais Imran Hamid membenarkan jaminan RM5,000 dan menetapkan tarikh sama (29 Jun) untuk sebutan kes. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan merompak enam kedai serbaneka di sekitar Pengkalan Chepa dan Kota Bharu awal bulan ini.


Ringkasan AI
  • Dua sahabat mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan merompak kedai serbaneka di Pengkalan Chepa dan Kota Bharu, melibatkan wang tunai RM1,211.30, serta satu cubaan rompakan pada 10 hingga 12 Mei 2025.
  • Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, serta penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
  • Salah seorang tertuduh, Muhammad Zulhusni, turut didakwa memiliki pistol tiruan tanpa lesen dan dibenarkan jaminan RM5,000, manakala kesemua pertuduhan akan disebut semula pada 29 Jun 2025.


Muhammad Zulhusni Irfan Mohamed, 20, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan Mohammad Lukman Akiff Mohamed, 28, didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas enam lelaki yang juga pekerja kedai berusia antara 21 hingga 31 tahun melibatkan wang tunai berjumlah RM1,211.30.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 3.30 pagi hingga 6.10 pagi pada 10 dan 11 Mei lepas, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua lelaki itu juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan cuba merompak seorang pekerja lelaki sebuah kedai serbaneka berusia 24 tahun di Jalan Sultan Ibrahim di sini pada 6 pagi, 12 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Zulkifli Abllah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala Muhammad Zulhusni diwakili peguam Mohd Hanis Mohamad Shariff dan Mohammad Lukman Akiff pula tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Muhammad Zulhusni mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa lesen yang sah di Jalan Sultanah Zainab pada 6.45 pagi, 12 Mei lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang berdepan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

TPR Ahmad Naabil Mohamed Asri Ahmad menawarkan jaminan RM8,000, namun Mohd Hanis memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya yang masih bujang bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan RM20 sehari.

"Anak guam turut menjaga ibunya yang menghidap strok selain tertuduh juga OKU yang mengalami masalah pembelajaran," kata peguam itu.

Majistret Rais Imran Hamid membenarkan jaminan RM5,000 dan menetapkan tarikh sama (29 Jun) untuk sebutan kes.

-- BERNAMA


#kes rompak #samun kedai serbaneka #Kelantan #kes mahkamah