MALAYSIA

Dua suspek ditahan berhubung kejadian tembakan di Kanowit

Bernama 25/08/2025 | 12:30 MYT
Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan susulan kejadian melepaskan tembakan di kawasan simpang Jalan Majau-Kanowit-Song, daerah Kanowit malam tadi. - Foto hiasan
SIBU: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan susulan kejadian melepaskan tembakan di kawasan simpang Jalan Majau-Kanowit-Song, daerah Kanowit dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Junical Ujal berkata kedua-dua suspek ditahan di lokasi berasingan, dengan seorang daripadanya dipercayai pemilik kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata polis menerima laporan kira-kira pukul 8.30 malam selepas seorang lelaki dilaporkan ditembak oleh suspek sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota.

"Dalam kejadian tersebut, tiada kecederaan dilaporkan. Hasil siasatan awal kemudian menemui rangka sebuah kereta yang telah dibakar di Jalan Penyulau, dipercayai kenderaan yang digunakan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Junical menegaskan polis memandang serius kes itu serta mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

-- BERNAMA


#suspek ditahan #tembakan di Kanowit #Jalan Majau-Kanowit-Song #Polis Daerah Kanowit