Dua syarikat minyak dan gas belum selesaikan tunggakan SST kepada Sabah - Masidi

Mirlen Axtius
Ogos 18, 2022 07:25 MYT
Tegas Masidi Kerajaan Sabah berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap dua syarikat berkenaan kerana mengingkari notis yang diberikan 21 Jun lalu untuk menjelaskan SST tertunggak berjumlah RM79 juta. - Foto Bernama.
KOTA KINABALU: Dua syarikat minyak dan gas milik Hibiscus Petroleum Bhd masih belum menjelaskan cukai jualan negeri (SST) kepada kerajaan Sabah.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Masidi Manjun berkata sekiranya syarikat itu sudah menjelaskan jumlah SST tertunggak kepada Sabah beliau akan tersenyum, namun sebaliknya.
"Sekiranya mereka sudah membayar, saya akan tersenyum sampai telinga. Tapi kamu tidak nampak saya senyum seperti itu?" ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengemas kini pembayaran berhubung Repsol Oil and Gas Ltd (Repsol) dan SEA Hibiscus Sdn Bhd (SEAH) dalam sidang media selepas melancarkan majlis Oil and Gas Services and Equipment (OGSE) Roadshow 2022 di Kota Kinabalu.
Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Julai lalu, Masidi berkata kerajaan negeri akan membatalkan semua permit kerja yang dikeluarkan kepada kedua-dua syarikat terbabit sekiranya gagal menjelaskan SST tertunggak yang berjumlah RM79 juta.
Tambah beliau, notis telah diberikan kepada kedua-dua firma pada 21 Jun lalu dan jumlah tersebut perlu diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 30 hari. Kerajaan negeri juga berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, adalah ironi apabila Sabah yang merupakan pengeluar utama minyak dan gas tetapi masih berada dalam peringkat awal dalam sektor itu.
"Sabah tidak berada di hadapan, tetapi jauh ketinggalan berbanding negeri lain seperti Sarawak dan beberapa negeri yang bukan pengeluar minyak.
"Terdapat 369 syarikat OGSE di Sabah tetapi separuh daripadanya tidak aktif.
"Alasannya mungkin kerana mereka tidak cukup kompetitif untuk mengambil pekerjaan tersebut atau tidak mengambil bahagian secara aktif dalam teknologi atau inovasi ini." jelasnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd Yazid Ja'afar berkata, 26 daripada 31 inisiatif telah dilaksanakan sejak pelancaran Pelan Tindakan OGSE pada April tahun lepas.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan setakat ini ialah Geran Pembangunan OGSE untuk menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan syarikat, di mana kami telah meluluskan 36 syarikat setakat ini.
“Ini termasuk satu syarikat Sabah dengan pembiayaan yang diluluskan sebanyak RM250,000,” jelasnya.
Ditanya mengapa hanya satu syarikat dari Sabah yang menerima geran itu, beliau berkata berkemungkinan kurangnya kesedaran mengenai insentif yang ada, serta selera untuk menuju ke global adalah rendah.
Bagaimanapun, beliau berkata MPRC akan menggalakkan lebih banyak syarikat Sabah untuk memohon melalui 'roadshow' dan platform lain.
#minyak dan gas #Masidi Manjun #SST #Sabah