Dua 'Tun' hadir beri keterangan pada suruhanjaya

Bernama
September 18, 2017 10:16 MYT
Dr Mahathir dan Daim tiba secara berasingan untuk memberi keterangan pada suruhanjaya itu dengan Daim pada kira-kira 9.55 pagi manakala Dr Mahathir kira-kira 10.40 pagi. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Kehadiran dua 'Tun' pada prosiding suruhanjaya siasatan kes kerugian urus niaga mata wang asing hari ini menjadikan Istana Kehakiman tumpuan wakil media tempatan dan antarabangsa.
Puluhan media yang mendapatkan maklumat mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menanti dengan sabar seawal 7.30 pagi ketibaan dua personaliti itu.
Dr Mahathir dan Daim tiba secara berasingan untuk memberi keterangan pada suruhanjaya itu dengan Daim pada kira-kira 9.55 pagi manakala Dr Mahathir kira-kira 10.40 pagi.
Turut kelihatan di Istana Kehakiman ialah bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tiba pada 10.30 pagi untuk memberi sokongan.
Daim ketika meninggalkan Istana Kehakiman pada kira-kira 12.15 tengah hari diasak dengan pelbagai pertanyaan oleh media tempatan dan antarabangsa namun menjawab: "Saya tidak ingat sekarang. Cerita lama ini."
Jumlah wakil media yang menunggu di luar bilik bicara tempat prosiding suruhanjaya siasatan berlangsung berkurangan pada sebelah petang berbanding pada waktu pagi.
Suruhanjaya Siasatan kes kerugian urus niaga mata wang asing itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Penubuhan suruhanjaya itu dan keanggotaan suruhanjaya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Suruhanjaya itu dipengerusikan Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Turut menganggotai suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Perakaunan Negara K. Pushpanathan.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #beri keterangan #Daim Zainuddin #forex #Mahathir Mohamad #RCI #Suruhanjaya Siasatan Diraja