ISKANDAR PUTERI: Dua wad di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, yang ditutup sejak tiga tahun lalu, mula dibuka dan beroperasi semula pada Rabu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, wad 9A dan 10A berkenaan ditutup ketika pandemik COVID-19, kerana kekurangan kakitangan kesihatan ketika itu.

Bagaimanapun tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah bilangan kakitangan khususnya jururawat membolehkan dua wad berkenaan dibuka semula.

"Wad 9A dan 10A yang masing-masing boleh menampung sehingga 54 katil dibuka semula dengan permulaan 20 katil ditempatkan di setiap wad terlebih dahulu.

"Bilangan katil yang diletakkan di wad berkenaan akan ditambah mengikut fasa kerana ada jururawat dan petugas yang baharu ditugaskan ke wad itu dan mereka perlu mengambil masa bagi latihan dan memahami sistem pengoperasian hospital terlebih dahulu," katanya.

Beliau ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Tian Soon memaklumkan kerajaan negeri sedang menunggu hasil perbincangan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Kementerian Pertahanan berhubung isu pemilikan satu tanah di kawasan Skudai yang dicadangkan untuk pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2).

Jelasnya, isu tapak bagi lokasi pembinaan HSA 2 berdepan kekangan sebelum ini, namun isu itu sudah dibawa ke pengetahuan Pejabat Perdana Menteri.

"Kita membawa isu HSA 2 itu kerana sekarang kita menghdapi kekangan dalam hal tapak untuk hospital baharu ini yang mana kita sudah minta KKM berbincang dengan pemilik tanah yang dikenal pasti iaitu Kementerian Pertahanan.

"Kita memohon supaya dapat sebahagian daripada tanah berkenaan dan mudah-mudahan kita akan mendapat satu keputusan perbincangan yang baik dan selepas mendapat kebenaran untuk kegunaan tapak, baharulah kita boleh ke langkah kedua untuk permohonan peruntukan bagi mulakan projek berkenaan," katanya. - Sinar Harian