AMPANG: Dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan merompak seorang lelaki menggunakan senjata sehingga menyebabkan kerugian RM300,000, membabitkan urus niaga emas, tiga minggu lalu.

Dua penganggur, Zarina Sinin, 54, dan Safiah Ibrahim, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama lima lagi individu yang masih bebas, didakwa melakukan rompak berkumpulan, bersenjatakan objek menyerupai pistol dan penyembur lada terhadap Hardev Singh Gill, 27, dan telah mengambil wang berjumlah RM300,000 milik mangsa.

Kesalahan didakwa dilakukan di tepi jalan Taman Melawati di sini, pada jam 1 petang, 15 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000.

"Ia termasuk syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan, sekali setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Fadhli M Sutris yang mewakili Zarina, memohon ikat jamin diberi pada kadar rendah, kerana anak guamnya tidak bekerja dan hanya bergantung dengan bantuan anak-anaknya.

Sementara itu, Safiah yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi ikat jamin yang minimum kerana tidak mempunyai pendapatan malah bergantung dengan bantuan anak-anak.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Wan Mohd Norisham membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan, dua kali setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Jun bagi sebutan semula kes.

Pada 19 Mac lalu, media melaporkan tiga wanita ditahan berhubung kes samun membabitkan urus niaga emas hingga kerugian RM300,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, semua suspek ditahan susulan laporan seorang lelaki yang mendakwa diperdaya pada 15 Mac lalu.

Katanya, mangsa bersama rakannya membuat urus niaga berkaitan jongkong emas dengan seorang wanita dan lelaki di Melawati Mall pada 1 petang.

"Mangsa kemudian diminta menaiki sebuah kereta Proton Gen2 untuk mengambil emas berkenaan dan didakwa dibawa pusing tiga kali mengelilingi pusat beli-belah terbabit.

"Mereka kemudian dibawa ke Jalan G1 dan kereta itu berhenti di tepi jalan sebelum empat suspek lelaki warga asing datang dengan seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah kepala mangsa," katanya. - Sinar Harian