GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan dua wanita warga asing yang menjadi mangsa eksploitasi seks, selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas dekat sini dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra'ais berkata kedua-dua dua wanita berusia 27 dan 28 tahun itu diselamatkan selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) kontinjen Pulau Pinang menyerbu hotel berkenaan hasil maklumat awam dan risikan.

"Dua lelaki tempatan berusia 29 dan 39 tahun dipercayai menjadi 'penjaga' serta ejen sindiket ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua suspek itu direman selama enam hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Katanya siasatan awal mendapati dua wanita itu dipercayai telah dieksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan, dan siasatan lanjut masih dijalankan.

-- BERNAMA