BENTONG: Dua orang warga asing dipercayai ‘ketua’ disoal siasat kerana melancarkan mogok di Amber Court, Genting Highlands, dekat sini, kira-kira 8.00 pagi, pada 2 Januari lalu.

Dua individu tersebut dikatakan mengetuai 200 orang pekerja asing yang melakukan mogok, di mana kejadian itu telah ditularkan melalui laman media sosial ‘TikTok’ milik 'yubrajkarki3’.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, bertindak di atas maklumat berkenaan, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bergegas ke tempat kejadian.

“Setelah tiba di tempat kejadian, didapati hampir 200 orang yang disyaki warganegara asing berkumpul dan berhimpun melakukan mogok serta diketuai oleh dua orang lelaki tersebut.

“Pihak polis telah memberi amaran kepada 'ketua' yang mengetuai mogok itu supaya bersurai dan tidak melakukan kacau ganggu di tempat awam.

“Amaran awal pihak polis tidak diendahkan oleh semua warganegara asing, pihak polis terpaksa menahan ‘ketua' kumpulan tersebut, namun (mereka) cuba bertindak agresif dan tidak memberi kerjasama,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak polis terpaksa menahan kedua-dua lelaki berkenaan dan dibawa ke Balai Polis Genting Highlands untuk disiasat.

“Punca berlaku kejadian mogok itu disebabkan berlaku perselisihan faham antara syarikat dan pekerja yang melakukan mogok itu.

“Pihak syarikat memaklumkan, punca mogok akibat daripada ketidakpuasan hati pekerja berkenaan gaji dan jadual kerja,” jelasnya.

Zaiham berkata, pihak polis berjaya mengawal keadaan setelah menasihatkan pihak pengurusan dan kumpulan yang melancarkan mogok untuk berbincang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan menganggu ketenteraman awam.

“Mohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan perkara ini telah selesaikan oleh pihak pengurusan serta pekerjanya dengan cara baik atas nasihat pihak polis.

“Pemantauan di lokasi berkenaan juga dilakukan secara berkala,” katanya lagi.