[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Dua warga Bangladesh ditahan disyaki dalang sindiket kemasukan warga asing

Bernama 15/07/2025 | 13:50 MYT
SPRM menahan dua lelaki warga Bangladesh termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan yang berpangkalan di luar negara kerana disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki warga Bangladesh termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan yang berpangkalan di luar negara kerana disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing.

Menurut sumber, kedua-duanya yang berusia 50-an ditahan dalam satu operasi SPRM sekitar Negeri Sembilan dan ibu negara antara 5 petang hingga 7 malam, semalam.

"Siasatan awal mempercayai kedua-duanya merupakan ejen warga asing yang memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA 1 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1) bagi memudahkan kemasukan warga asing melalui pintu masuk negara," menurut sumber itu.

Modus operandi sindiket itu ialah dengan mendekati pegawai penguat kuasa di KLIA 1 bagi menjalankan aktiviti counter setting bagi memudahkan proses pemeriksaan warga asing ketika mereka masuk.

Kedua-duanya kini direman hingga 20 Julai, selepas perintah reman dikeluarkan Pegawai Pendaftar Kanan Shaik Zuladdruse Merican Sadzol Othman Merican di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

#SPRM #Tahan #warga Bangladesh #sindiket kemasukan warga asing