Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Dua warga China kemuka representasi kaji semula pertuduhan ambil gambar MINDEF guna dron

Bernama 18/11/2025 | 08:40 MYT
Mahkamah Sesyen menetapkan 7 Januari untuk memutuskan representasi dua lelaki warga China yang didakwa mengambil gambar di kawasan larangan MINDEF menggunakan dron. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 7 Jan depan untuk memutuskan representasi dua lelaki warga China bagi mengkaji semula pertuduhan mengambil gambar di kawasan larangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) menggunakan dron yang dihadapi mereka.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Sesyen menetapkan 7 Januari untuk memutuskan representasi dua lelaki warga China yang didakwa mengambil gambar di kawasan larangan MINDEF menggunakan dron.
  • Representasi pertama yang dikemukakan oleh Li Luorong dan Chen Junhao masih dalam pertimbangan AGC, dengan pihak pendakwa memohon tarikh sebutan untuk maklumkan jawapan dan serahan dokumen tambahan.
  • Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 4(1) Akta yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan. Perbicaraan kes ditetapkan pada April dan Jun 2026.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Hakim Suhaila Haron membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi yang dikemukakan oleh Li Luorong, 26, dan Chen Junhao, 19, pada 22 Okt lepas.

"Ini representasi kali pertama dan ia masih dalam pertimbangan AGC... pihak kami mohon tarikh sebutan untuk maklumkan kepada mahkamah mengenai jawapan kepada representasi tersebut serta serahan dokumen tambahan," kata Nor Aisyah.

Peguam Ooi Hong Ming, yang mewakili kedua-dua tertuduh, mengesahkan perkara itu.

Kedua-dua warga China didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat mendapatkan maklumat rasmi bagi maksud yang memudaratkan keselamatan negara iaitu mengambil gambar pandangan atas menggunakan dron jenis DJI Mavic 3 Enterprise di lokasi yang diwartakan sebagai kawasan larangan tanpa kebenaran.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di padang bola B MINDEF, Jalan Padang Tembak di sini pada 11.50 pagi 6 Ogos lepas mengikut Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Li dan Chen turut berdepan pertuduhan mengambil gambar dari udara menggunakan dron jenis sama dengan maksud melakukan kerja ukur atau pemeruman tanpa kebenaran pihak berkuasa di lokasi serta pada tarikh dan masa sama.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah telah menetapkan 27 hingga 30 April serta 4 dan 6 Jun 2026 untuk perbicaraan kes itu.

-- BERNAMA




Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tarikh yang ditetapkan mahkamah untuk memutuskan representasi dua lelaki warga China yang didakwa mengambil gambar di kawasan larangan MINDEF menggunakan dron?
    A: Mahkamah menetapkan 7 Januari sebagai tarikh untuk memutuskan representasi kedua-dua lelaki warga China tersebut.
  • Q: Apakah pertuduhan yang dihadapi oleh kedua-dua warga China berkenaan dengan pengambilan gambar di kawasan larangan MINDEF?
    A: Mereka didakwa mengambil gambar di kawasan larangan MINDEF tanpa kebenaran menggunakan dron jenis DJI Mavic 3 Enterprise, yang boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan negara.
  • Q: Apakah hukuman yang boleh dikenakan kepada kedua-dua tertuduh jika sabit kesalahan terhadap pertuduhan yang dikenakan?
    A: Pertuduhan yang dikenakan boleh membawa hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, serta hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun bagi kesalahan lain yang dilakukan.
  • Q: Siapakah yang mewakili kedua-dua tertuduh dalam kes ini?
    A: Peguam Ooi Hong Ming mewakili kedua-dua tertuduh warga China yang didakwa mengambil gambar di kawasan larangan MINDEF menggunakan dron.
  • Q: Apakah lokasi dan tarikh di mana kedua-dua warga China didakwa melakukan kesalahan tersebut?
    A: Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di padang bola B MINDEF, Jalan Padang Tembak pada 6 Ogos pada pukul 11.50 pagi.



#Kementerian Pertahanan #Mindef #warga china #ambil gambar kawasan larangan #Li Luorong #Chen Junhao