KUCHING:Dua mayat warga emas ditemui dalam dua kejadian berasingan di negeri ini, dalam tempoh 24 jam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melaporkan, kematian melibatkan lelaki berusia 63 tahun dan 74 tahun, masing-masing di daerah berbeza.

Mayat pertama ditemui di bumbung sebuah premis kerajaan di Kuching, manakala mayat kedua ditemui di sebatang sungai di Katibas.

"Dalam kes pertama, sebuah jentera dan ambulans EMRS dengan kekuatan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dihantar untuk bergerak ke lokasi.

"Pasukan terlibat kemudian bertindak menurunkan mangsa yang identitinya dikenal pasti sebagai Hii Chung Tiew," menurut laporan Pusat Gerakan Operasi negeri.

Mayat diserahkan kepada pihak paramedik Hospital Umum Sarawak dan polis.

Difahamkan, sebelum ditemui tidak bernyawa sekitar jam 2 petang, mangsa berada di bumbung premis terbabit untuk melakukan kerja-kerja baik pulih bumbung bangunan.

Sementara itu, dalam kejadian kedua, mayat seorang warga emas ditemui di Sungai Serau, Katibas.

mayat, misteri

Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat Song, Kapit dimaklumkan tentang kejadian orang hilang sekitar jam 12.40 tengah hari dan segera menggerakkan dua anggotanya yang menaiki bot panjang Kementerian Kesihatan Malaysia menuju ke lokasi.

Operasi mencari turut dibantu penduduk rumah panjang di kawasan sekitar.

Mangsa dikenal pasti sebagai Ngang Imban dari Rumah Panjang Ribut, Nanga Serau.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.