MALAYSIA

Dua warga Vietnam edar, miliki dadah berdepan hukuman gantung

Sinar Harian 26/06/2025 | 07:27 MYT
Lee Yoen Fei (Kiri), Trieu Thi Mai (tengah) di tuduh memiliki dadah diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis. -Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dan seorang wanita warga Vietnam berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, kira-kira dua minggu lalu.

Ringkasan AI
  • Dua warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan mengedar lebih 38 kg dadah jenis MDMA dan memiliki 1.8 kg ketamin.
  • Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
  • Mahkamah menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh, Lee Yuen Fei, 45, dan Trieu Thi Mai, 22, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat lebih 38 kilogram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 8.20 malam, 14 Jun lalu di Jalan Seri Orkid 25, Taman Seri Orkid di sini.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 15 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.
Selain itu, kedua-duanya turut didakwa memiliki dadah berbahaya jenis ketamin seberat 1.8 kilogram di lokasi dan masa yang sama.
Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Ia juga dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu status laporan kimia. -Sinar Harian
#Johor Bahru #warga Vietnam #Dadah #MDMA #Ketamin