“Pertuduhan yang dikeluarkan terlalu umum dan tidak munasabah. Duit itu tidak hilang!”

Demikian tegas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak selepas menerima enam pertuduhan berkaitan kes pecah amanah di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Najib, kesemua pertuduhan itu tidak ada kaitan dengan apa jua manfaat atau keuntungan kepada dirinya.

“Keputusan dan apa yang kita telah lakukan adalah untuk menentukan kepentingan negara dalam urusan tertentu.

“Misalnya dalam pembayaran balik hutang yang perlu kita jelaskan. Kalau kita tak jelaskan maka ia akan memudaratkan ekonomi negara dan rakyat pada keseluruhannya,” kata Najib kepada pemberita di pekarangan Mahkamah, hari ini.


Tegasnya, keputusan mengeluarkan arahan supaya wang itu juga dibuat bagi menyelesaikan beberapa aspek dari segi pelaksanaan projek tertentu yang perlu dilakukan ikut kontrak.

“Saya harap tidak ada kekeliruan dengan angka sebab apabila disebut angka pecah amanah itu RM6.5 bilion, boleh menggemparkan.

“Kesemua pertuduhan itu disabitkan dalam bayaran pelaksanaan projek dan pembayaran hutang,” jelas Najib.