HAMPIR seminggu lalu, dunia digemparkan dengan tragedi berdarah di Christchurch, New Zealand yang telah mengorbankan 50 nyawa.

Insiden ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa duka di kalangan kita yang tidak terlibat secara langsung dengan mangsa, apatah lagi kepada ahli keluarga atau pun rakan terdekat mangsa.

Duka akibat kehilangan ataupun 'grief' boleh dikaitkan dengan pelbagai situasi seperti kehilangan seseorang, harta benda mahupun anggota badan tetapi kehilangan disebabkan kematian adalah di antara jenis yang biasa dihadapi oleh semua orang.

Duka kehilangan akibat kematian merupakan satu gejala emosi yang selalunya dihadapi oleh mereka yang terdekat dengan orang yang meninggal dunia seperti pasangan hidup, ibu bapa dan anak-anak.

Walaupun ia adalah satu proses atau reaksi yang normal, adakalanya ia boleh berpanjangan dan menjadi bertambah teruk sehinggakan mendatangkan masalah kepada kehidupan seharian individu tersebut.

Dr Elisabeth Kubler Ross, seorang pakar psikiatri terkenal di Amerika Syarikat mengatakan bahawa terdapat lima fasa yang dihadapi oleh individu apabila menghadapi kematian orang yang dikasihi.

Fasa tersebut adalah seperti berikut :

1) Penafian (Denial): Apabila seseorang individu itu baru sahaja mengetahui mengenai kematian tersebut, adalah normal untuk rasa terkejut serta tidak mempercayai bahawa perkara itu berlaku.Ini merupakan satu mekanisme pertahanan diri yang sementara untuk menangani emosi yang membuak.

2) Kemarahan (Anger): Selepas itu, akan datang perasaan kecewa dan tidak berdaya apabila seseorang itu menyedari bahawa ia adalah realiti yang harus dihadapi. Perasaan ini akan bertukar menjadi marah sama ada kepada orang yang meninggal dunia, orang lain atau kehidupan secara umum. Perasaan marah terhadap mereka yang telah meninggal dunia timbul disebabkan oleh individu tersebut merasakan bahawa beliau telah ditinggalkan sendirian.

3) Tawar-menawar (Bargaining): Pada fasa ini, mereka akan terfikir dengan pelbagai kebarangkalian yang boleh atau patut dilakukan agar kematian tersebut dapat dielakkan. Ada yang berasakan bahawa nyawanya patut dijadikan galang ganti atau seolah berunding dengan tuhan agar mereka yang telah meninggal dapat hidup kembali.

4) Kesedihan (Depression): Kesedihan mula dirasai apabila individu tersebut mula memahami bagaimana kehilangan tersebut akan mempengaruhi hidup mereka.Tanda-tanda yang dialami adalah seperti menangis, sukar tidur, kurang selera makan serta berasa keseorangan.

5) Penerimaan (Acceptance): Apabila fasa sebelum ini ditempuhi dengan lancar, maka individu tersebut akhirnya dapat mencapai fasa penerimaan (acceptance), yang merupakan fasa terakhir dalam menghadapi duka akibat kematian. Apabila mencapai fasa ini, barulah individu tersebut dapat menerima kematian keluarga tersayang dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Setiap individu menjalani fasa-fasa di atas secara berbeza dari segi masa serta ada yang tidak melalui fasa tertentu secara langsung. Ada juga yang tidak mampu melepasi fasa tertentu sehingga menyebabkan kedukaan akibat kematian ini berpanjangan (prolonged grief).

Namun, duka kehilangan juga turut dihadapi oleh ahli keluarga yang tidak mengetahui tentang nasib ahli keluarga yang hilang.

Dr Pauline Boss, seorang Professor Emeritus dalam bidang Sains sosial Keluarga di Universiti Minnesota telah memperkenalkan terma 'ambiguous loss' atau kehilangan yang tidak jelas.

Contohnya ialah situasi yang dihadapi oleh keluarga mangsa tragedi MH370 atau mereka yang hilang tanpa dapat dikesan.

Pengalaman kehilangan sebegini adalah lebih teruk berbanding biasa dan mencabar disebabkan tiada jawapan yang pasti ditemui menyebabkan mereka sukar untuk mendapat penutup (closure).

Jadi, mereka sukar untuk memahami apa yang terjadi, bagaimana untuk menangani tekanan serta meneruskan kehidupan tanpa mendapat sokongan yang sewajarnya.

Bilakah ia menjadi tidak normal ?

Kedukaan akibat kematian atau kehilangan biasanya akan berkurangan dengan masa tetapi pada tarikh tertentu seperti ulang tahun kematian atau hari penting dalam keluarga, perasaan sedih ini mungkin akan timbul semula secara berkala.

Tidak ada tempoh yang tertentu untuk rasa kedukaan ini hilang kerana ia amat bergantung kepada umur, personaliti, cara kematian sama ada secara traumatik atau mengejut serta sistem sokongan yang diperoleh oleh seseorang individu.

Dr Holly Prigerson, profesor dalam bidang Sosiologi mengatakan bahawa sekiranya perasaan sedih berlarutan melebihi enam bulan selepas kehilangan, maka ia dinamakan 'Prolonged grief disorder'.

Bagaimanapun, mengikut Diagnostic Statistical Manual 5th edition (DSM-V) oleh American Psychiatric Association (APA), jika kedukaan akibat kehilangan ini memenuhi kriteria untuk diagnosa kemurungan atau 'Major Depressive Disorder', maka ia tidak lagi normal.

Mereka yang mengalami kemurungan seharusnya menerima penilaian serta rawatan dari pakar psikiatri.

Apa yang dapat membantu menangani duka akibat kematian?

1) Beri masa pada diri sendiri untuk menerima perasaan sedih serta memahami bahawa kedukaan adalah satu proses normal dalam menghadapi kehilangan. Perasaan sedih, marah dan kecewa adalah perasaan biasa yang akan dirasai oleh setiap individu. Elak rasa bersalah kerana mempunyai perasaan yang demikian. Mereka yang berada di sekeliling dapat membantu dengan menguruskan aktiviti seharian serta memberikan sokongan kepada mereka yang berduka.

2) Bercerita dengan orang lain tentang mereka yang telah pergi serta elakkan daripada bersendirian. Ini dapat membantu untuk individu tersebut memahami apa yang terjadi. Luahkan segala perasaan termasuk apa yang terkilan, apa hajat yang ingin ditunaikan dan perkara-perkara yang baik mengenai arwah.

3) Jaga kesihatan diri serta amalkan gaya hidup sihat dengan makan secara tetap dan dapatkan tidur yang secukupnya.

4) Kembali jalani rutin serta aktiviti yang disukai secepat yang mungkin. Menyibukkan diri dapat mengelakkan dari terlampau berfikir serta membantu untuk kembali positif.

5) Bercakap dengan mereka yang turut mengalami kehilangan. Saling membantu dalam menghadapi saat sukar ini akan mengurangkan rasa tertekan serta dapat memahami perasaan orang lain. Ia juga menyebabkan individu tersebut tidak berasa keseorangan dalam menghadapi kehilangan tersebut.



* Dr Firdaus Abdul Gani adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI