Sejak kelmarin, telah viral di media sosial mengenai kaedah menyelamat mangsa lemas menerusi satu foto berketerangan yang dikongsi netizen.

Dalam foto tersebut, netizen diberitahu, kaedah menyelamat mangsa lemas adalah dengan cara mendukung mangsa secara terbalik dan dibawa berlari untuk mengeluarkan air yang dipercayai tertelan oleh mangsa lemas.

Menurut Jurulatih Bertauliah untuk Asas Sokongan Hayat, Mohd Soffian Osman, kaedah itu dianggap tidak tepat jika dirujuk kaedah yang biasa digunakan mengikut garis panduan oleh American Heart Association (AHA).

Katanya, kaedah yang diviralkan di media sosial tidak tepat malah tidak pernah digunakan skuad penyelamat profesional.

"Ini kerana dalam kebanyakan kes lemas, hasil kajian AHA memberitahu, kebanyakan mangsa bukan meninggal dunia akibat tertelan air. Tetapi, ia terjadi akibat ketakutan yang dialami mangsa ketika lemas.

"Biasanya otak akan menghantar mesej kepada larinks agar ia ditutup bagi mengelak air memasuki organ badan dan keadaan ini adalah disebabkan oleh tindakan refleks badan secara semulajadi.

"Kebanyakan kes ini dinamakan sebagai 'dry drown' di mana keadaan paru-paru tidak dipenuhi air. " katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Oleh yang demikian, Mohd Soffian memberi cadangan berikut sekiranya kita berhadapan dengan situasi mangsa lemas.

"Perkara utama yang harus dilakukan oleh orang awam ialah mendapatkan bantuan dari pasukan perubatan dengan kadar segera sebelum bertindak memberikan sebarang bantuan kepada mangsa.

"Kemudian, mangsa perlu dikeluarkan dari kawasan berair dengan kadar segera.

"Selain memastikan mangsa bebas daripada sebarang risiko bahaya dari faktor persekitaran lain, langkah awal adalah dengan memeriksa tahap kesedaran mangsa serta memastikan sekiranya mangsa masih bernafas sejurus dikeluarkan dari air.

"Bagi orang awam yang tidak pernah mengikuti mana-mana latihan yang mengikut garis panduan AHA, mereka dinasihatkan untuk memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari tangan sahaja (Hands Only CPR) dengan melakukan tekanan dada sahaja sekiranya mangsa tidak sedarkan diri dan tidak bernafas.

"Langkah tersebut boleh dilakukan sesiapa sahaja sementara menunggu bantuan profesional tiba di lokasi.

"Bantuan pernafasan mulut ke mulut pula hanya boleh dilakukan ke atas mangsa oleh mereka yang terlatih dan bertauliah," ujarnya

Langkah tersebut boleh dilakukan sesiapa sahaja sementara menunggu bantuan profesional tiba di lokasi.

Dalam apa jua situasi kecemasan, panggilan dan tindakan yang tepat perlu dilakukan dengan tenang namun segera dalam usaha mengurangkan kebarangkalian buruk.