ISKANDAR PUTERI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2023) Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini.

"Dewan yang mulia ini ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10," kata Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ADUN Benut Datuk Seri Hasni Mohammad, ADUN Perling Liew Chin Tong dan ADUN Simpang Jeram Datuk Seri Salahuddin Ayub kerana masing-masing memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam, Iskandar Puteri dan Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Mohd Puad juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas kejayaan menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin lepas.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap membentangkan Belanjawan 2023 pada persidangan itu, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri baharu.

"Saya turut ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. Selamat maju jaya saya ucapkan," katanya.

Onn Hafiz turut merakamkan tahniah kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kejayaan JDT merangkul Piala Malaysia 2022 sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Selatan untuk 2022 selepas menjuarai Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super Malaysia.

Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 24 Nov lepas.

JDT pula mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kejayaan treble buat julung kalinya selepas menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2022 dengan menewaskan Selangor FC 2-1 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin lepas.

Gelaran juara Piala Malaysia ketiga diraih JDT sejak penubuhannya pada 2013 menyaksikan skuad Harimau Selatan itu, menyapu bersih trofi yang dipertandingkan tahun ini, susulan pencapaian memenangi saingan Piala FA dan Liga Super, selain meraih Piala Sumbangsih sebelum musim ini bermula.

-- BERNAMA