Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
MALAYSIA

DUN Melaka zahir ucapan takziah pemergian Bung Moktar

Shuhada Abdul Kadir 05/12/2025 | 03:00 MYT
Ucapan takziah itu disampaikan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf ketika Persidangan Ketiga, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, hari ini. - Gambar Astro AWANI
AYER KEROH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.

Ucapan itu disampaikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

"Pagi ini kita dikejutkan pemergian Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham," ujarnya.

Allahyarham Bung Moktar, 66, merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan salah seorang figura politik paling berpengaruh di Sabah.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta dan berita sedih pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya.

Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi Khamis.

Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 yang berakhir pada Sabtu lalu.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Luyang dan solat jenazah akan dilakukan di Masjid Negeri Sabah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas, di sini, yang dijadualkan selepas solat Jumaat.





#Bung Moktar Radin #Bung Moktar meninggal dunia #DUN Melaka #ucapan takziah