IPOH: Sejumlah 7,873 hektar tanah di negeri Perak telah diceroboh oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan pelbagai aktiviti, sehingga Disember ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah berkenaan, pertanian direkodkan sebagai aktiviti pencerobohan tertinggi iaitu melibatkan seluas 7,307.59 hektar tanah atau 92.82 peratus.

Dalam masa sama, 400.09 hektar tanah kata beliau, telah diceroboh secara tidak sah bagi aktiviti penternakan, sementara 165.03 hektar diceroboh dengan aktiviti penempatan setinggan.

“Pihak Berkuasa Negeri telah mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Usaha Haram dan Setinggan Negeri Perak.

“Jawatankuasa ini akan bersidang setiap suku tahun bagi memantau serta mengenal pasti aktiviti haram dan setinggan di atas tanah milik kerajaan negeri di samping melaksanakan tindakan-tindakan punitif bagi membanteras aktiviti pencerobohan tanah ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Razman Zakaria (PN-Gunong Semanggol) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, pada Rabu.

Tambah Saarani (BN-Kota Tampan), kerajaan negeri juga turut melaksanakan beberapa kaedah bagi penyelesaian isu setinggan berkenaan seperti pemberian milikan tanah kerajaan, pajakan tanah rizab dan pemberian Lesen Pendudukan Sementara serta pelaksanaan penguatkuasaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Jelas beliau lagi, kerajaan negeri juga menjalankan pelbagai inisiatif bagi menyelesaikan isu penerokaan haram di atas tanah kerajaan antaranya, pemutihan tanah kerajaan melalui agensi.

“Analisis data menunjukkan dari tahun 2018 hingga tahun 2021, sebanyak 5,959.74 hektar tanah kerajaan yang diteroka oleh peneroka haram telah diberi milik kepada pelbagai agensi dan perbadanan milik kerajaan.

“Daripada jumlah tersebut, 3,930.79 hektar telah disewa atau dipajak kepada peneroka tersebut, 700.92 hektar telah dilaksanakan tindakan penguatkuasaan dan baki 1,328.03 hektar di dalam perancangan untuk pembangunan, penyewaan atau pajakan kepada peneroka haram,” ujar Saarani lagi.