NATIONAL
DUN Perak gantung ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria enam bulan
Razman digantung enam bulan daripada menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, berkuatkuasa hari ini. - Gambar fail
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria digantung enam bulan daripada menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, berkuatkuasa hari ini.
Keputusan itu diumumkan Speaker Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas usul itu dibentangkan ADUN Bercham, Ong Boon Piow dan disokong ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya
Mohammad Zahir membuat keputusan itu selepas undi suara majoriti.
Pada 4 Disember lalu, DUN Perak meluluskan usul membawa Razman kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri selepas beliau didakwa membuat kenyataan tidak benar pada 2 Disember.
Keputusan itu dibuat Mohammad Zahir selepas usul dibawa ADUN Astaka, Jason Ng Thien Yeong dipersetujui.
Sebelum itu, Jason bangkit dan memaklumkan Ketua Pembangkang DUN itu telah mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung insiden bendera Negara China dikibarkan di Teluk Intan.
Katanya, pada 2 Disember 2024 semasa Persidangan Kedua, Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua, Dewan Negeri Perak ke-15 Razman sewaktu berucap telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta telah menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.
Mohammad Zahir berkata, berdasarkan kepada Perintah Tetap Peraturan 40 (3) (a) dan (b), beliau berpendapat, ada merit kepada usul tersebut dan bersetuju untuk merujuk ADUN Gunung Semanggol ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak.