IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026 yang bermatlamat memastikan kerangka perundangan mendukung pentadbiran agama Islam kekal jelas, teratur dan berkesan, sesuai dengan keperluan semasa tanpa menjejaskan prinsip serta kedudukan agama Islam dan institusinya.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan RUU berkenaan berkata pindaan tersebut turut bertujuan memperkemas tatakelola, mengelakkan pertindihan perundangan serta menyediakan punca kuasa yang sewajarnya bagi beberapa keperluan pentadbiran semasa.
“Secara keseluruhannya, pindaan dicadangkan merangkumi beberapa perkara utama, antaranya penyelarasan fungsi serta bidang kuasa institusi agama; pemantapan kerangka profesion Peguam Syarie; penyediaan asas perundangan bagi pendaftaran masjid dan surau; serta beberapa penyelarasan lain,” katanya pada persidangan DUN Perak di sini.
Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perak berkata RUU yang menggantikan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992 itu mengandungi 16 fasal merangkumi pindaan terhadap beberapa aspek pentadbiran agama Islam di negeri Perak.
“Antara pindaan utama yang dicadangkan ialah menyediakan punca kuasa undang-undang bagi pelaksanaan dasar perkhidmatan guna sama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri.
“Hal ini melibatkan perjawatan tertentu dalam pentadbiran agama Islam, khususnya Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pendakwa Syarie, Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pegawai Masjid.
“Perlu dijelaskan bahawa pelaksanaan dasar perkhidmatan guna sama ini tidak mengubah kedudukan dan bidang kuasa negeri dalam pentadbiran agama Islam, sebaliknya menyediakan kerangka perundangan yang membolehkan negeri memanfaatkan sumber manusia, pengalaman dan kepakaran daripada kedua-dua perkhidmatan secara lebih tersusun, mengikut keperluan pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata pindaan lain ialah tafsiran “Pegawai Masjid” yang dipinda dengan mengeluarkan jawatan “Pembantu Bilal” (Siak) daripada tafsiran tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pindaan itu tidak melibatkan pemansuhan jawatan Pembantu Bilal, tetapi bertujuan memperjelas pemisahan antara jawatan Pegawai Masjid yang dilantik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan jawatan sokongan yang diwujudkan pada peringkat kariah.
“Di bawah Enakmen sedia ada, pelantikan oleh MAIPk hanya melibatkan Imam dan Bilal, manakala Pembantu Bilal dipilih dan diurus pada peringkat kariah mengikut keperluan setempat,” katanya.
Ketika menggulung perbahasan, Saarani berkata pengeluaran Pembantu Bilal daripada tafsiran “Pegawai Masjid” tidak menjejaskan elaun, fungsi, tanggungjawab atau kedudukan mereka.
Saarani berkata RUU berkenaan turut membuat beberapa penyelarasan termasuk istilah “Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan” yang digunakan dalam Enakmen pada masa ini digantikan dengan istilah “Jawatankuasa Muzakarah”, selaras dengan terminologi yang digunakan di bawah Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam 2022.
“Penyelarasan istilah ini bukan sekadar perubahan pada nama, tetapi penting bagi memperjelas kedudukan jawatankuasa berkenaan sebagai platform muzakarah dan penyelarasan hal ehwal agama Islam pada peringkat kebangsaan, di samping mengelakkan kekeliruan mengenai bidang kuasa pengeluaran fatwa,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata RUU tersebut turut memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan tahap kompetensi dan profesionalisme profesion Peguam Syarie dengan membolehkan pelatih dalam kamar yang menjalani latihan di bawah seliaan seorang pengajar hadir dalam prosiding Mahkamah Syariah.
Perkara itu, katanya, ialah sebahagian daripada cadangan untuk menjadikan latihan dalam kamar sebagai syarat wajib bagi penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie di Perak.
“Langkah ini penting kerana profesion Peguam Syarie menuntut bukan sahaja penguasaan ilmu dan undang-undang, tetapi juga kemahiran amali, etika serta profesionalisme.
“Melalui latihan dalam kamar, calon Peguam Syarie akan mendapat pendedahan kepada amalan dan prosiding sebenar Mahkamah Syariah di bawah seliaan sebelum diterima masuk ke dalam profesion,” katanya.
RUU tersebut kemudian diluluskan sebulat suara. Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA