DUN Perak: Mohamad Zahir, Jenny Choi dipilih Speaker dan Timbalan

Amirrul Rabbani
Disember 19, 2022 04:31 MYT
Mohamad Zahir dipilih semula sebagai Speaker DUN Perak hari ini. - Foto SUK Perak
IPOH: Bekas Exco Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) buat kali kedua pada Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di sini hari ini.
Usul melantik Mohamad Zahir dikemukakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) dan disokong A Sivanesan (PH-Sungkai).
Setiausaha DUN Perak Muhammad Nazri Abdullah mengisytiharkan Mohamad Zahir sebagai memegang jawatan itu selepas tidak ada nama lain yang dikemukakan Ahli Dewan.
Sementara itu, Jenny Choi Tsi Jen (PH-Canning) pula dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN Perak, juga calon tunggal untuk jawatan tersebut.
Usul itu dicadangkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PH-Sungai Rapat) dan disokong Salbiah Mohamed (BN-Temengor).
Pada persidangan sama, seramai 58 Ahli DUN (ADUN) mengangkat sumpah kecuali Nga Kor Ming (PH-Kepayang) yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan kerana hadir ke sesi Parlimen pada hari sama.
Upacara angkat sumpah di hadapan Mohamad Zahir dimulai dengan Saarani dan diikuti semua wakil rakyat daripada blok kerajaan, sementara Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) mengetuai blok pembangkang.
Pada 12 Mei 2020, Mohamad Zahir dipilih sebagai Speaker DUN Perak menggantikan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham.
DUN Perak mempunyai 59 kerusi dan daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 24 kerusi dan Barisan Nasional (BN) sembilan kerusi, masing-masing di blok kerajaan.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) yang memiliki 26 kerusi berada di blok pembangkang.
#Mohamad Zahir Abdul Khalid #Speaker DUN Perak #DUN Perak #Jenny Choi