KOTA KINABALU: Isu bekalan air dan elektrik yang melanda Sabah mendominasi sesi perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Datuk Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin) berkata Sabah kaya dengan hasil semula jadi mempunyai sumber air amat banyak dari sungai, bawah tanah, hujan dan kawasan tadahan besar, bagaimanapun sumber itu perlu diurus dengan baik bagi memberi bekalan air yang mencukupi kepada rakyat.

Beliau berkata bekalan elektrik cukup, penting bukan sahaja untuk memenuhi permintaan rakyat, malah penting dalam menarik lebih ramai pelabur luar, justeru penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) pada tahun hadapan, bersama peranan dimainkan GLC dilihat dapat memikul tanggungjawab itu.

"Masalah infrastruktur sehingga kini tidak selesai...semua pemimpin politik di Sabah sama ada kerajaan atau pembangkang daripada rumpun sama dan pernah jadi kerajaan mentadbir Sabah, saya merayu sudah sampai masanya kita berkerjasama perjuangkan rakyat dan menyelesaikan masalah ini," katanya.

Ketua Pembangkang DUN Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan, yang bersedia untuk membantu dalam usaha mengatasi masalah bekalan air di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan Sabah tidak seharusnya mengambil sikap menunggu kerajaan Persekutuan dalam usaha mengatasi isu itu, sebaliknya wajar mempunyai perancangan dan gerak kerja sendiri dalam mengatasi isu tersebut.

"Terdapat banyak masalah dalam (pengurusan) bekalan air di Sabah, kos tinggi juga korupsi dan ketirisan, selain itu perlu kontraktor yang berkelayakan dilantik dan pastikan tiada monopoli, kita memerlukan satu reformasi dalam pengurusan bekalan air negeri," katanya.

Rina Jainal (GRS-Kukusan) berkata tuntutan reformasi pembangunan infrastruktur terutama melibatkan bekalan asas seperti air dan elektrik, perlu terus menjadi perkara asas dalam usaha membantu rakyat yang mana usaha itu memerlukan kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Kita sudah sepatutnya bersedia untuk kehidupan akan datang, menyambut kepesatan penduduk dengan perancangan ekonomi mampan. Namun kita masih bercerita mengenai isu lapuk ketinggalan zaman, masih lagi mencari lilin untuk dinyalakan, dan mencari botol kosong untuk tadahan," katanya.

Frankie Poon (PH-Tanjong Papat) berkata, bekalan elektrik dan masalah air terawat telah menjejaskan kesihatan rakyat serta perniagaan di seluruh negeri, terutama di Sandakan apabila baru-baru ini 70 peratus rakyat menggunakan air terawat yang masin untuk tempoh lebih dari enam bulan.

"Situasi semasa (air masin) juga telah memberi kesan buruk kepada kesihatan ramai orang daripada gatal-gatal badan hingga sakit perut dan darah tinggi. Begitu juga, bekalan elektrik berada di bawah standard dengan gangguan bekalan elektrik tidak diketahui sebelum ini oleh pihak berkuasa yang berkaitan," katanya.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, kemudiannya menangguhkan persidangan ke hari esok.

-- BERNAMA