KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diharap bersetuju dengan cadangan penubuhan akaun amanah kerajaan Sabah bagi memastikan peruntukan tahunan yang diberikan kepada negeri itu tidak luput sekiranya ia tidak dibelanjakan pada tahun semasa.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan akaun amanah itu adalah cara terbaik untuk memastikan kerajaan negeri tidak berasa rugi apabila peruntukan itu terpaksa dipulangkan semula kepada Kerajaan Pusat.

Tegasnya, kerajaan negeri akan memantau agar peruntukan dalam akaun amanah itu digunakan secara efisien mengikut tujuan pemberian peruntukan tersebut.

"Tetapi kita ambil pendekatan dan saya telah mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menubuhkan atau bersetuju supaya peruntukan tersebut disalurkan ke satu akaun amanah seperti yang berlaku di pemberiaan khas sejak tahun lalu disimpan... dimasukkan dalam satu akaun amanah yang kita boleh gunakan walaupun sudah luput tahunan itu.

"Kita berharap Kerajaan Pusat bersetuju dengan cadangan kita ini, kerana ini sahaja cara terbaik supaya kita tidak rugi peruntukan disalurkan begitu banyak (hingga) ada yang tidak dapat dilaksanakan... kerana sebab saya telah sebutkan tadi, seperti kontraktor yang dilantik tidak dapat melaksanakan (projek)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Moyog) yang ingin tahu adakah akaun amanah ini telah diluluskan Kabinet Negeri dan apa langkah untuk memastikan peruntukan tidak dikembalikan semula.

Selain itu, Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, sebanyak RM1.252 bilion daripada RM5.709 bilion peruntukan pembangunan yang diberikan Kerajaan Persekutuan tidak dapat dibelanjakan disebabkan lima isu pelaksanaan.

"Pertama, isu kontraktor-kontraktor dilantik tidak mempunyai kapasiti kewangan mencukupi, tenaga kerja dan kelemahan pengurusan projek; isu utiliti dari segi kelewatan dokumentasi, karenah birokrasi, pemetaan utiliti dan ketiga melibatkan isu proses pengambilan balik tanah yang terganggu.

"Keempat ialah isu pengurusan seperti arahan berhenti kerja oleh pegawai penguasa selain harga bahan yang meningkat dan yang terakhir ialah isu agensi pelaksana," katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah yang proaktif dalam menangani perkara-perkara tersebut antaranya, dengan memastikan kebolehlaksanaan sesuatu projek yang dipohon untuk pelaksanaan adalah tinggi pada tahun semasa dan tahun-tahun berikutnya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan memastikan semua permohonan projek kepada Kerajaan Persekutuan perlu mendapat perakuan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu, seperti yang telah termaktub dalam Garis Panduan Penyediaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12) dan Permohonan Projek Pembangunan Tahun 2024-2025 Biayaan Persekutuan.

"Ini adalah untuk memastikan perancangan adalah mengikut keperluan negeri dan pelaksanaan projek disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan," katanya.