DUN Sarawak: Jawatan KM kepada Premier; Menteri Muda sebagai Timbalan Menteri

Shafik Ahmad
Februari 13, 2022 10:31 MYT
RUU tersebut akan dibaca oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bermula esok bakal menyaksikan beberapa rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan.
Antara yang mencuri tumpuan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang akan diusul pada hari kedua mesyuarat.
Menariknya, ia turut melibatkan pindaan Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak untuk menamakan semula jawatan Ketua Menteri kepada 'Premier'.
RUU tersebut akan dibaca oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Merujuk kepada salinan itu, cadangan pindaan turut melibatkan Artikel 44 mengenai tafsiran 'Premier'.
Ia membawa maksud ketua menteri yang dilantik di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak, dan apa-apa sebutan berkaitan ketua menteri dalam mana-mana undang-undang bertulis hendaklah merujuk kepada 'Premier'.
Antara lain, pindaan Perkara 7A bagi menggantikan jawatan 'Menteri Muda' kepada Timbalan Menteri.
Secara teknikalnya, 26 jawatan menteri muda yang dilantik semasa pembentukan Kabinet Negeri Sarawak lalu akan dikenali sebagai timbalan menteri sekiranya diluluskan di Dewan Undangan Negeri.
Seterusnya, ordinan itu akan berkuat kuasa pada tarikh ia diwartakan selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
#RUU Perlembagaan Sarawak #DUN Sarawak #Abang Johari Tun Openg #pindaan Ketua menteri #premier