KUCHING: Projek karbon hutan terkawal pertama Sarawak akan dimulakan pada suku pertama tahun 2023 untuk menjadi satu sumber pendapatan baharu negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, inisiatif tersebut didorong oleh entiti sektor swasta yang mempunyai pengetahuan teknologi dan sumber kewangan untuk memastikan kejayaan dan kemampanan projek-projek berkenaan.

“Formasi geologi Sarawak yang stabil mempunyai kapasiti penyimpanan karbon terbesar di kawasan luar pesisir. Dianggarkan Sarawak mempunyai 30 trilion meter padu kapasiti simpanan karbon di dasar laut pelantar benuanya. 

“Medan petroleum yang habis atau terbiar di kawasan luar pesisir adalah sesuai untuk pembangunan menjadi tapak bagi simpanan karbon dioksida (CO2) yang selamat dan kekal yang ditangkap oleh syarikat minyak dan gas yang kini mempunyai kewajipan untuk mengurangkan pelepasan CO2 ke atmosfera,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Khamis.

Jelas beliau, karbon dioksida yang ditangkap dan disimpan boleh digunakan untuk membuat Hidrogen (H2), ammonia biru, bahan api bio serta produk lain, sekali gus menyediakan platform untuk pembangunan berterusan industri penggunaan dan penyimpanan tangkapan karbon (CCUS) di Sarawak selain daripada penjanaan kredit

Sementara itu, Syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros) kini disenaraikan sebagai syarikat minyak dan gas ketiga terbesar di Malaysia selepas selepas Petronas dan Shell melalui ekuiti dalam sumber asas hidrokarbon.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2017, Abang Johari memberitahu, Petros berjaya menandatangani tujuh Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) melalui ruang penghasilan dan penerokaan luar pesisir.

“PSC melalui penghasilan luar pesisir (3), dan PSC melalui penerokaan luar pesisir (4), sementara untuk penerokaan dan penghasilan pesisir, Petros mempunyai 100 peratus hak seperti yang diperuntukkan oleh Ordinan Perlombongan Minyak 1958 {OMO 1958}.

“Pelan Hala Tuju Gas PETROS Sarawak akan mengubah landskap sosio-ekonomi Sarawak menjelang 2030 melalui penghasilan empat hab gas di Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching. Melalui hab ini, ia akan memberi perkhidmatan kepada seluruh Sarawak seperti model "Hub & Spoke" - memberikan akses  bekalan gas dan tenaga bersih yang mencukupi dan berpatutan ke seluruh negeri,” katanya.

Dalam jangka masa terdekat, PETROS katanya akan melaksanakan dua projek sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak dengan jangkaan pelaburan sekitar RM6.0 bilion.