MALAYSIA

Durian klon tidak penuhi piawaian eksport jejas harga, cetus lambakan - FAMA

Bernama 09/01/2026 | 21:30 MYT
Bagi mengurangkan impak kepada petani, FAMA menggerakkan inisiatif antaranya membeli durian kampung untuk diproses menjadi pulp and paste di pusat pemprosesan khususnya di Besut, Jerantut, Sungai Petani dan Machang. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Durian klon seperti Musang King yang tidak memenuhi piawaian eksport menyebabkan berlakunya lebihan bekalan buah itu di pasaran tempatan ketika ini dan bukannya disebabkan kelemahan permintaan terhadap durian kampung.


Ringkasan AI
  • Durian klon seperti Musang King tidak memenuhi piawaian eksport menyebabkan lebihan bekalan di pasaran tempatan.
  • Kebun muda menghasilkan buah berkualiti rendah, menjejaskan eksport terutamanya ke China dan Singapura.
  • FAMA mengambil inisiatif membeli durian kampung untuk diproses demi membantu petani dan menstabilkan pasaran.


Timbalan Ketua Pengarah Sekuriti Makanan dan Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Faisal Iswardi Ismail berkata, kebun muda berusia kurang 10 tahun menghasilkan buah berkualiti rendah, sekali gus tidak menepati spesifikasi eksport khususnya ke China dan Singapura.

"Kejatuhan harga durian klon kepada RM15 hingga RM20 sekilogram akhirnya memberi kesan rantaian kepada durian kampung di seluruh negara," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Jualan Agro MADANI @ Jualan Buah Bermusim dan Durian, di sini, pada Jumaat..

Faisal Iswardi berkata, bagi mengurangkan impak kepada petani, FAMA menggerakkan inisiatif antaranya membeli durian kampung untuk diproses menjadi pulp and paste di pusat pemprosesan khususnya di Besut, Jerantut, Sungai Petani dan Machang.

Beliau berkata, FAMA yang mempunyai 14 pusat pemprosesan buah di seluruh negara bersedia membantu, namun fokus kini diberikan kepada empat lokasi utama bagi menyerap lambakan dan memproses bekalan yang tidak boleh dipasarkan sebagai buah segar.

Menurut beliau, FAMA mengoperasikan 42 pusat di seluruh negara bagi melaksanakan belian secara langsung khususnya durian varieti kampung, sama ada untuk jualan segar atau diproses menjadi produk nilai tambah.

Selain itu, Faisal Iswardi berkata, penganjuran Program Jualan Agro MADANI khusus buah-buahan bermusim dan durian antara langkah intervensi bagi menstabilkan pasaran, melindungi pendapatan pengeluar serta memastikan pengguna terus mendapat bekalan durian tempatan pada harga munasabah.

"Bagi memperkukuh pengurusan lebihan bekalan, FAMA turut menggerakkan rangkaian 285 outlet pemasarannya di seluruh negara yang merangkumi Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Medan Gerai Buah-buahan Segar dan Medan Niaga," katanya.

Mengenai Program Jualan Agro MADANI @ Jualan Buah Bermusim dan Durian selama dua hari bermula semalam di Pasar Tani Putrajaya, Faisal Iswardi berkata, lebih 30 tan buah-buahan berkenaan dibawa untuk jualan bagi membantu pengeluar yang terjejas, terutama di Jerantut, Pahang dan Jelebu, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, jualan itu menerima sambutan luar biasa apabila lebih RM100,000 nilai jualan direkodkan sejak semalam, sekali gus mendorong program itu dilanjutkan hingga esok.

Faisal Iswardi berkata, sasaran jualan untuk dua hari ini adalah RM200,000 dan FAMA juga merancang siri kedua jualan durian di lokasi sama bergantung kepada bekalan, manakala program Jualan Agrobazaar seterusnya dijadualkan di Kedah pada 16 Jan dan di Bandar Baru Selayang, 22 Jan.

Beliau berkata, FAMA menyediakan logistik membawa buah dari kawasan pengeluaran terus ke pusat pengguna, selain menyediakan outlet pemasaran rasmi agar petani boleh menjual tanpa orang tengah.

-- BERNAMA







#FAMA #sasaran jualan #pasaran tempatan #Musang King