[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
MALAYSIA

Duta Besar Malaysia hargai hubungan erat dengan Indonesia

Bernama 08/10/2025 | 04:50 MYT
Syed Mohamad Hasrin berkata, tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-68 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia yang terus berkembang dalam bidang politik, ekonomi serta hubungan antara rakyat. - Gambar fail Bernama
JAKARTA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin memuji hubungan positif dan berkekalan antara kedua-dua negara berjiran itu sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 dan Hari Malaysia ke-62.

Berucap pada majlis resepsi di Jakarta Selatan pada Selasa malam, beliau berkata, tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-68 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia yang terus berkembang dalam bidang politik, ekonomi serta hubungan antara rakyat.

"Hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia berkembang dengan baik di semua peringkat," kata Syed Mohamad Hasrin sambil menambah bahawa perdagangan dua hala meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada US$25.5 bilion (RM116.3 bilion) pada 2024, dan rakyat Malaysia kekal sebagai penyumbang utama pelawat asing ke Indonesia tahun lalu.

Beliau turut menyorot beberapa pertemuan berprofil tinggi baru-baru ini, termasuk lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta pada 29 Julai bagi menghadiri Rundingan Tahunan ke-13 bersama Presiden Prabowo Subianto.

"Kami menantikan kehadiran Presiden Prabowo Subianto ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akhir bulan ini," katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Syed Mohamad Hasrin berkata, Kuala Lumpur telah mengemukakan tema "Keterangkuman dan Kemampanan" bagi memperkukuh keamanan dan keselamatan, memperdalam integrasi serantau serta membina Komuniti ASEAN yang benar-benar berteraskan rakyat.

Berpandukan visi ini, Malaysia terus menerajui pelbagai inisiatif untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, ekonomi digital, pemerkasaan belia dan tindakan terhadap perubahan iklim bagi memastikan ASEAN kekal berdaya tahan dan berpandangan jauh, katanya.

"Melangkah ke hadapan, Malaysia percaya kekuatan ASEAN terletak pada perpaduan dan keupayaan menyesuaikan diri," katanya sambil menambah bahawa dengan penerimaan Visi ASEAN 2045: Masa Depan Bersama serta kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok itu, ASEAN sedang melangkah ke era baharu yang lebih inklusif dan berpaksikan kemajuan bersama.

"Bersama-sama, kita dapat memastikan ASEAN kekal sebagai zon keamanan, kemakmuran dan peluang untuk beberapa dekad yang akan datang," kata Syed Mohamad Hasrin sambil menyatakan penghargaan kepada kepimpinan serta rakyat Indonesia atas komitmen mereka dalam memperkukuh hubungan dua hala.

Beliau turut menyuarakan harapan agar hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia akan terus berkembang demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara serta kemakmuran rantau Asia Tenggara secara keseluruhan.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 1,200 tetamu yang memenuhi dewan hotel termasuk wakil kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, kor diplomatik, sektor swasta, ahli akademik, pelajar serta rakan kerjasama daripada pelbagai institusi, dengan Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah, Prof Abdul Mu'ti; Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Yusril Ihza Mahendra; Menteri Pelaburan. Rosan Perkasa Roeslani serta Menteri Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak, Arifah Fauzi.

-- BERNAMA



#Malaysia-Indonesia #Hubungan dua hala #Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin #PM Anwar Ibrahim #Presiden Prabowo Subianto