KUALA LUMPUR: Duta baharu Malaysia ke Lubnan Azri Mat Yacob menyerahkan watikah pelantikan kepada Presiden Republik Lubnan, Michel Aoun dalam satu majlis, semalam.

Semasa pertemuan bersama Presiden selepas penyerahan watikah tersebut, Azri berkata beliau akan terus berusaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada di samping meningkatkan kerjasama di peringkat antarabangsa dan hubungan dagangan antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan Kedutaan Malaysia di Lubnan yang dihantar kepada Bernama melalui Wisma Putra, Aoun menyambut baik komitmen itu dan berharap kerjasama kedua-dua negara dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan.

"Hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara bermula pada 1965 dan sejak itu kedua-dua negara menjalinkan hubungan yang baik dan mesra," menurut kenyataan itu.

Kedutaan Malaysia di Beirut dibuka pada 2005 dan seramai 850 pegawai serta anggota Malaysian Battalion (MALBATT) turut berada di Selatan Lubnan bagi mengekalkan keamanan dan menjalankan misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

Sejak 2007, pasukan MALBATT telah terlibat sebagai satu daripada pasukan pengaman bagi menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Azri memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan berkhidmat di Kementerian Luar sejak 2001. Sebelum pelantikan itu beliau merupakan Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, Wisma Putra.

-- BERNAMA