Skip to main content

Malaysia

Duta Palestin puji sokongan Malaysia, mahu hubungan dua hala diperkukuh

KUALA LUMPUR, May 6 -- Palestine’s Ambassador to Malaysia Jehad Fouad Alqdra during an interview with Bernama at his office recently.  The Ambassador expressed commitment to advance bilateral relationship to a higher level while exploring opportunity to strengthen broader cooperation in economy and trade. He also invited Malaysia to participate in reconstruction efforts in Gaza.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Alqdra menegaskan Palestin turut berhasrat memperluas kerjasama dengan Malaysia dalam bidang lain seperti ekonomi dan perdagangan. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Duta Besar Palestin ke Malaysia Jehad Fouad Alqdra memuji Malaysia sebagai antara penyokong antarabangsa Palestin yang paling konsisten dan berprinsip dalam perjuangan berterusan negara itu untuk mencapai kenegaraan dan hak menentukan nasib sendiri.

Beliau berkata Malaysia secara konsisten menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin, sama ada di peringkat kerajaan mahupun rakyat.

Advertisement

Beliau menegaskan bahawa walaupun hubungan dua hala berakar umbi daripada semangat solidariti, saling menghormati dan nilai kemanusiaan bersama, Palestin turut berhasrat memperluas kerjasama dengan Malaysia dalam bidang lain seperti ekonomi dan perdagangan.

“Saya datang ke sini dengan mandat jelas daripada Presiden saya Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Mohammad Mustafa. Mereka mengarahkan saya untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia.

“Dan saya bertuah dalam perkara ini kerana saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyampaikan naratif Palestin kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Malaysia telah lama menyedari situasi ini sejak awal lagi dan sentiasa menyokong kami,” katanya dalam temu bual di pejabatnya.

Menyifatkan Malaysia sebagai rakan kongsi penting yang mempunyai rangkaian kukuh di peringkat serantau dan global, Alqdra percaya Putrajaya boleh terus memanfaatkan pengaruhnya di platform serantau dan antarabangsa serta dalam forum pelbagai hala bagi menggembleng sokongan lebih kuat buat Palestin dan mengetengahkan penderitaan kemanusiaan yang berterusan di wilayah yang diduduki.

“Kami berharap Malaysia dapat menggunakan hubungan baiknya dengan negara lain untuk menyokong perjuangan kami,” katanya.

Mengenai hubungan dua hala, Alqdra yang memulakan tugasnya di sini pada Oktober tahun lepas menekankan rancangan untuk memperkukuh kerjasama, termasuk usaha mengaktifkan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama yang ditubuhkan pada 2022 bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang pelancongan, perdagangan, kesihatan dan hal ehwal Islam.

“Selain itu, kami juga berharap dapat mengatur lawatan rasmi Menteri Luar Palestin ke Malaysia secepat mungkin.

“Malaysia sentiasa dekat dengan kami dan kami sedang berusaha membawa hubungan ini ke tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau.

Duta itu turut mengundang Malaysia untuk menyertai usaha pembinaan semula Gaza selepas perang.

Beliau mengetengahkan keadaan menyedihkan akibat serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober 2023, dengan lebih 80 peratus wilayah itu mengalami kemusnahan infrastruktur utama dan kemudahan awam seperti hospital, sekolah dan blok perumahan.

“Kami merayu kepada kerajaan dan sahabat kami supaya menyertai usaha pembinaan semula sebaik sahaja keadaan kembali stabil.

“Kami berharap Malaysia juga dapat memainkan peranan lebih aktif dalam proses pembinaan semula dengan membawa teknologi dan kepakaran pembinaan bagi membantu kami,” katanya.

Alqdra turut menegaskan keperluan pendekatan yang tersusun dan bermakna, sambil menambah bahawa penyertaan dalam projek pembinaan semula seperti perumahan, hospital dan institusi pendidikan akan memberi manfaat kepada komuniti Palestin yang lebih luas di Gaza.

-- BERNAMA

Must Watch Video