KUALA LUMPUR: Peralihan daripada rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian bagi pelaksanaan 5G pada 2024 bersedia untuk memanfaatkan industri menerusi pelbagai tawaran penyelesaian perusahaan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO), kata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata keputusan kerajaan untuk mempunyai dwirangkaian bagi 5G lebih kepada pertimbangan perniagaan untuk membolehkan MNO menyediakan penyelesaian perusahaan berbeza yang bersesuaian dengan pelanggan khusus mereka.

"Mana-mana syarikat telekomunikasi (telco) yang mempunyai sedikit kawalan terhadap infrastruktur akan berupaya melaksanakan penyelesaian perusahaan khusus yang mungkin bersesuaian untuk pelanggan mereka.

"Sebilangan telco mungkin menyasarkan sektor tertentu seperti loji penapis bagi minyak dan gas (untuk perkhidmatan 5G masing-masing), manakala sebahagiannya lagi mungkin melihat peruncitan dan jenis kilang yang tertentu," katanya dalam taklimat media berhubung hala tuju 5G baru-baru ini.

Menurut Fahmi, keputusan untuk beralih kepada dwirangkaian dalam pelaksanaan 5G dilaksanakan selepas jawatankuasa semakan semula yang dianggotai oleh wakil KKD dan Kementerian Kewangan (MoF) melaksanakan 19 sesi libat urus bersama-sama pelbagai pihak termasuk penggiat industri.

"Terdapat sekurang-kurangnya lapan model (rangkaian 5G) yang dikaji semula termasuk beberapa variasi, hibrid dan penambahan daripada model-model terdahulu.

"Akhirnya, Kabinet memutuskan bahawa inilah modelnya (dwirangkaian). Digital Nasional Bhd (DNB) kekal dan terus membangunkan rangkaiannya sehingga mencapai 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk sebelum kemudiannya beralih kepada model dwirangkaian.

"Saya percaya wujud sedikit perbezaan pandangan dari segi menghapuskan monopoli dan soal kemampanan industri telekomunikasi. Bagi kerajaan, keperluan utama adalah untuk menghormati apa-apa sahaja kontrak yang telah ditandatangani dan mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini," kata Fahmi.


Entiti A dan B dalam dwirangkaian

Sementara itu, Fahmi berkata, setelah pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk, operasi dan pembangunan rangkaian tersebut akan diteruskan oleh entiti A. Entiti B kemudiannya akan dibentuk menerusi penyertaan daripada MNO bagi melengkapkan model dwirangkaian.

Beliau berkata belum ada persetujuan dari segi penyedia perkhidmatan atau telco yang akan menjadi sebahagian daripada entiti B berikutan perbincangan masih dilaksanakan.

"Secara amnya, peralihan (kepada dwirangkaian) akan bermula sejurus selepas kita mencapai 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk. Kita jangkakan menjelang awal tahun depan entiti B akan mulakan operasi membina rangkaian mereka.

"Sebelum akhir tahun ini, (kita) akan tahu siapa yang akan menyertai entiti B, yang tiada pegangan kerajaan seperti dalam DNB," katanya.

Menurut Fahmi, entiti B akan mula membangunkan rangkaiannya secara berasingan bagi menawarkan perkhidmatan 5G manakala entiti A akan meneruskan operasi dan pembangunan rangkaian DNB.

"Kita akan mempunyai dua rangkaian berasingan yang menawarkan liputan yang lebih kurang sama," katanya.


Pasukan Petugas bagi Pelaksanaan 5G

Pada 9 Mei lepas, KKD telah mengumumkan mengenai penubuhan satu pasukan petugas bagi memastikan pelaksanaan rangkaian 5G di bawah DNB mencapai liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk, menjelang penghujung tahun ini.

Pasukan tersebut akan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa manakala pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berperanan sebagai sekretariat.

Fahmi berkata pasukan terbabit akan mengadakan mesyuarat setiap dua minggu bagi membincangkan isu-isu berkaitan status pelaksanaan 5G dan memastikan kelancaran peralihan kepada model dwirangkaian pada awal 2024.

"Mereka seterusnya akan mengemukakan laporan kepada saya dan saya akan membentangkan (hasilnya) dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Namun, sudah pasti, tumpuan utama pasukan petugas khas ini adalah untuk memastikan bahawa pelaksanaan 5G ini dapat dipercepat supaya kita mampu mencapai liputan sebanyak 80 peratus (jumlah kawasan berpenduduk) menjelang akhir tahun ini," katanya.

Fahmi turut berkongsi perkembangan bahawa setakat 30 April 2023, jumlah liputan 5G di seluruh negara telah mencapai 59.5 peratus kawasan berpenduduk, meningkat daripada 57.8 peratus setakat akhir Mac lepas.

-- BERNAMA