GADGETS

Dynamic Island pada iPhone generasi baharu dijangka tampil lebih kecil

Amanz 24/01/2026 | 04:00 MYT
Perubahan ini dijangka memberi lebih ruang pada skrin serta menjadikan bahagian atas paparan kelihatan lebih teratur. -Foto Amanz
PERANTI Apple sentiasa menarik perhatian biarpun perubahan yang dilakukan kelihatan kecil.

Terkini, iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max dilaporkan bakal hadir dengan paparan yang dipertingkat dan rekaan Dynamic Island yang lebih kecil, sekali gus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih kemas kepada pengguna.

Menurut maklumat yang dikongsikan oleh sumber teknologi Ice Universe, potongan Dynamic Island pada model iPhone 18 Pro dijangka dikecilkan kepada sekitar 13.49mm, berbanding 20.76mm pada model sebelumnya — pengurangan hampir 35 peratus.

Perubahan ini dijangka memberi lebih ruang pada skrin serta menjadikan bahagian atas paparan kelihatan lebih teratur.

Selain itu, laporan industri turut menyatakan kemungkinan Apple memindahkan sebahagian komponen Face ID ke bawah permukaan paparan.

Namun, buat masa ini, hanya komponen flood illuminator dijangka dipindahkan manakala komponen lain seperti kamera swafoto dan sensor Face ID utama masih ditempatkan dalam potongan Dynamic Island yang dikecilkan.

iPhone 18 Pro juga dikatakan bakal menggunakan panel LTPO+ OLED selain meningkatkan keupayaan kamera swafoto, sejajar peningkatan yang lazim diperkenalkan pada model Pro.


An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.



-Amanz






#Apple #iPhone 18 Pro #Dynamic Island #lebih kecil