MALAYSIA
Dzulkefly ketuai delegasi ke ICHM8, perkukuh peranan Malaysia dalam kerjasama kesihatan Islam

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri-Menteri Kesihatan Islam ke-8 (ICHM8) yang berlangsung di Amman, Jordan dari esok hingga 9 Okt, menurut Kementerian Kesihatan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri-Menteri Kesihatan Islam ke-8 (ICHM8) yang berlangsung di Amman, Jordan dari esok hingga 9 Okt, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
Ringkasan AI
- Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengetuai delegasi ke ICHM8 di Amman (hingga 9 Okt); akan beri Kenyataan Negara dan jadi panel tentang UHC, pendigitalan serta pembiayaan kesihatan.
- Persidangan bahas lanjutan SHPA 10 tahun: pandemik, kesihatan mental, risiko iklim, AMR; gaya hidup sihat & kesiapsiagaan; ibu-anak & nutrisi; kemandirian ubat, vaksin dan teknologi.
- Malaysia calon peneraju -Disease Prevention & Control- (inisiatif kesihatan paru-paru); turut meterai MoU dengan Jordan, adakan pertemuan dua hala, dan lawatan ke Pusat Kanser Raja Hussein.
Selain itu, beliau akan menjadi ahli panel sesi bertajuk Building Equitable and Resilient Health Systems for UHC and Health Security in OIC Member Countries dengan berkongsi pengalaman Malaysia dalam transformasi penjagaan primer, digitalisasi kesihatan dan reformasi pembiayaan kesihatan.
"Penyertaan Malaysia dalam ICHM8 mencerminkan peranan aktif negara dalam diplomasi kesihatan Islam dan antarabangsa. Ia juga memperkukuh aspirasi Malaysia MADANI mengangkat nilai kesejahteraan, kemampanan dan ihsan dalam membina sistem kesihatan yang inklusif, adil dan berperikemanusiaan di peringkat serantau serta global," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan persidangan kali ini mempertimbangkan beberapa resolusi penting termasuk lanjutan OIC Strategic Health Programme of Action (SHPA) untuk tempoh sepuluh tahun baharu dengan penekanan terhadap pandemik, kesihatan mental, risiko berkaitan iklim, antimikrobial resistance (AMR), serta daya tahan sistem kesihatan.
Resolusi lain turut meliputi gaya hidup sihat meliputi pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit serta kesiapsiagaan krisis kesihatan; kesihatan ibu, anak dan nutrisi termasuk usaha mengurangkan kematian serta masalah kekurangan zat makanan; dan kemandirian penghasilan dan pembekalan ubat, vaksin serta teknologi kesihatan dalam kalangan negara anggota OIC.
Selain itu, KKM memaklumkan Malaysia akan mencalonkan diri sebagai negara peneraju untuk Thematic Area 2 (Disease Prevention and Control) dengan membawa inisiatif kesihatan paru-paru bertujuan menangani beban global penyakit seperti asma, tuberkulosis dan kanser paru-paru melalui kerjasama dasar, inovasi negara anggota serta perkongsian amalan terbaik serantau.
Dalam tempoh itu, Malaysia telah menyelaraskan pelbagai inisiatif bersama-sama Pusat Penyelidikan Statistik, Ekonomi dan Sosial serta Latihan bagi Negara-Negara Islam (SESRIC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) termasuk penganjuran latihan maya OIC mengenai kesihatan ibu dan anak pada November 2022.
Di samping penyertaan rasmi ICHM8, KKM memaklumkan Dzulkefly dijadualkan mengadakan beberapa kunjungan hormat dan pertemuan dua hala termasuk pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kerjasama kesihatan antara Malaysia dan Jordan.
Beliau juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Jordan dan Palestin Mohamad Nasri Abdul Rahman serta mengadakan mesyuarat bilateral dengan Menteri Kesihatan Maldives Abdulla Nazim Ibrahim.
Selain itu, beliau akan melawat Pusat Kanser Raja Hussein (KHCC) bagi meninjau peluang kerjasama dalam bidang onkologi dan penyelidikan klinikal serta menghadiri sesi ramah mesra bersama-sama diaspora Malaysia di Jordan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami