[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

EAIC dedah ketidakpatuhan prosedur pelesenan Jabatan Perikanan

Bernama 24/11/2025 | 10:00 MYT
EAIC memaklumkan bahawa siasatan telah dijalankan terhadap pegawai DOF di Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Ibu Pejabat DOF berdasarkan Seksyen 28 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur dan dasar pelesenan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam proses kelulusan 54 lesen perikanan yang diberikan kepada dua buah syarikat.

EAIC memaklumkan bahawa siasatan telah dijalankan terhadap pegawai DOF di Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Ibu Pejabat DOF berdasarkan Seksyen 28 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

"Hasil siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur dan dasar pelesenan DOF serta wujud unsur jenayah pemalsuan atau menggunakan dokumen palsu sebagai tulen yang boleh disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan [Akta 574]," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, EAIC memaklumkan hasil siasatan akan dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib DOF dengan mengesyorkan hukuman tatatertib terhadap pegawai-pegawai yang terlibat di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

"Kesalahan yang dikenal pasti melibatkan unsur tidak bertanggungjawab, ingkar perintah dan cuai dalam melaksanakan tugas," menurut kenyataan itu.

Selain itu, EAIC menjelaskan bahawa hasil siasatan turut dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaras dengan peruntukan Perenggan 30(1)(c) Akta 700 bagi pertimbangan siasatan jenayah mengikut Seksyen 471 Akta 574 atau mana-mana peruntukan berkaitan terhadap suspek-suspek yang dikenal pasti.

Menurut EAIC, beberapa syor penambahbaikan turut dikemukakan kepada DOF termasuk Ketua Pengarah Perikanan perlu mempertimbangkan pembatalan lesen vesel yang diperoleh melalui prosedur yang tidak teratur.

Turut disyorkan ialah penyediaan garis panduan kelulusan ubah suai vesel melebihi 20 peratus pada peringkat ibu pejabat dan penambahbaikan sistem pengurusan fail di Pejabat Perikanan Daerah, penetapan had bilangan lesen perikanan atau vesel bagi setiap syarikat dan penambahbaikan sistem E-Lesen bagi meningkatkan kecekapan serta integriti proses pelesenan.

-- BERNAMA



#EAIC #jabatan perikanan #kelulusan lesen #hasil siasatan