MALAYSIA
EAIC kesan ketidakpatuhan, kelemahan proses kelulusan oleh DOF

EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlaku ketidakpatuhan dalam proses kelulusan permohonan pertukaran hak milik bot kenka serta permohonan pertukaran zon oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
EAIC dalam kenyataan hari ini, memaklumkan perkara itu diperoleh menerusi siasatan aduan terhadap DOF berkaitan tindakan meluluskan permohonan tersebut yang tidak mematuhi syarat dan pekeliling pelesenan serta bercanggah dengan dasar perikanan sedia ada.
"Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan syor surat teguran diberikan kepada Ketua Jabatan untuk memastikan pematuhan ke atas dasar dan syarat telah ditetapkan jabatan.
"DOF juga disyor menyemak semula kelulusan yang telah diberikan kepada vesel terlibat bagi memastikan ketelusan dan pematuhan kepada pekeliling sedia ada," menurut kenyataan itu.Dalam kenyataan berasingan, EAIC memaklumkan terdapat kelemahan iaitu ketidakaturan oleh DOF Johor berhubung kelulusan permohonan pindah milik dan atau pindah pangkalan terhadap lapan vesel menggunakan pukat tunda tanpa mengikut Dasar Penghapusan Pukat Tunda ditetapkan kerajaan.
"EAIC memutuskan untuk merujuk kes ini kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF dengan syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] susulan kesalahan ingkar perintah," menurut kenyataan itu.
Siasatan dua aduan itu dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami