PORT DICKSON: Tragedi banjir besar Disember lalu yang turut memusnahkan mahligai pelakon dan pelawak Ebby Yus yang dalam pembinaan di Hulu Langat, Selangor menyebabkan hasratnya untuk menyambut Aidilfitri di rumah baharu tidak kesampaian.

Malah rumah bantuan kerajaan di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang diterima pelakon itu juga masih belum siap dibina.

Ini kerana kata Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, penghantaran bahan binaan untuk rumah tersebut agak sukar dilakukan kerana masalah jambatan rosak di kawasan itu.

"Proses pembinaan rumah berjalan dalam keadaan baik dan sudah siap 80 peratus. Tapi saya pun tak tahu bila ia akan siap kerana bergantung kepada keadaan jambatan yang rosak itu.

"Kalau ikutkan saya memang nak beraya di rumah baharu yang dah dihanyutkan banjir itu, tapi tak kesampaian. Kalau rumah bantuan kerajaan ini dah siap pun, saya memang tak duduk lagi kerana banyak yang perlu disediakan," katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim di sebuah restoran di sini pada Khamis.

Katanya, disebabkan itu, beliau akan pulang beraya di rumah pusaka ibu bapa di Kuala Pilah yang kini didiami oleh kakaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, menyentuh mengenai kesihatannya, Ebby berkata, ia bertambah baik namun beliau masih perlu sentiasa berjaga-jaga.

Ebby menambah, beliau terpaksa menolak penggambaran yang mengambil masa lama di luar dan setakat ini sudah menolak tujuh tawaran sama ada berlakon atau mengacara.

"Walaupun tidak sepenuhnya, tapi alhamdulillah kesihatan saya baik.

"Cuma sekarang saya tak ambil sangat 'shooting' yang memerlukan masa lama di luar atas faktor kesihatan dan nasihat doktor," katanya.

Pada 19 Disember lalu, Ebby berdepan ujian berat apabila rumah impiannya yang dalam proses pembinaan dan hanya tinggal 10 peratus lagi untuk disiapkan hanyut dibawa banjir.

Berikutan itu, Ebby menanggung kerugian hampir RM200,000.


*Berita asal di Sinar Harian