KUANTAN: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.3 bilion di negeri Pahang.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi pelaburan itu peluang pekerjaan baharu dapat dibuka kepada rakyat setempat.

"Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.3 bilion.

"Ia mewujudkan lebih 3,300 peluang pekerjaan baharu dalam kalangan Keluarga Malaysia Pahang tahun ini," jelasnya.

Jelas Ismail Sabri, selain pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan, kerajaan juga komited dalam membasmi kemiskinan tegar di Pahang. 

Tambahnya, lapan lokasi menjadi fasa pertama bagi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

"Dalam mencapai aspirasi ini, sebanyak RM1 bilion diperuntuk bagi menyahut Program Pembasmian
Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

"Fasa pertama di Pahang melibatkan lapan lokaliti akan memanfaatkan 178 Ketua Isi Rumah (KIR)," jelasnya.

Lapan lokaliti itu, antaranya Kampung Bohor Baru dan Perkampungan Orang Asli Kuin di daerah Bera,
Kampung Kechau Tui (Lipis), Kampung Lada (Jerantut), Kampung Bolok (Temerloh), Kampung Pasir Panjang (Pekan).

Selain itu, turut diperuntuk adalah bantuan di Kampung Orang Asli Chenan Cerah di daerah Cameron Highaldns, Kampung Orang Asli Langkap Lama (Rompin) dan Kampung Orang Asli Tungau, Pos Lenjang (Lipis).

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Aspirasi Jelajah Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan pada Sabtu.