NATIONAL

ECRL: 3,200 peluang pekerjaan ditawarkan kepada anak tempatan - Loke

Umavathi Ramayah 06/05/2025 | 07:26 MYT
Loke berucap pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL, di sini pada Selasa. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) bakal menjana lebih 3,200 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan menjelang fasa operasi dan penyelenggaraan (O&M) yang dijangka pada Januari 2027.

Ringkasan AI
  • Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka menjana lebih 3,200 peluang pekerjaan menjelang fasa operasi dan penyelenggaraan (O&M) yang bermula Januari 2027, dengan 80% daripada tenaga kerja terdiri daripada rakyat tempatan.
  • Sebagai persiapan, seramai 210 pelatih dari Malaysia akan menjalani latihan intensif di Liuzhou, China selama setahun. Latihan ini merangkumi teori, praktikal serta pengalaman operasi rel untuk memastikan mereka bersedia menyertai industri rel moden.
  • Malaysia dan China telah menubuhkan syarikat usaha sama, ECRL Operation Sdn Bhd, untuk mengendalikan dan menyelenggara ECRL. Inisiatif ini disokong oleh Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang telah diperkenalkan sejak 2017.

Ia adalah susulan usahasama yang dicapai antara Malaysia dan China untuk menubuhkan ECRL Operation Sdn Bhd, sebuah syarikat operasi bersama pada Disember lalu bagi pengendalian dan penyelenggaraan ECRL.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata. penubuhan ECRL Operation, syarikat usaha sama antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dengan pegangan 50:50, bakal memperkasa sektor rel negara menerusi penyertaan besar-besaran tenaga kerja tempatan.
“Bermula dari fasa pembinaan, PLKI-ECRL kini melangkah ke hadapan dengan memberi fokus dalam mempersiapsiaga fasa O&M.
“Program ini menyasarkan untuk memberi manfaat latihan dan peluang pekerjaan kepada seramai 3,200 pelatih secara keseluruhan bagi fasa O&M.
“Sebagai permulaan, pada tahun ini, seramai 210 pelatih dari Malaysia, yang datang daripada pelbagai latar belakang akan dihantar ke Liuzhou, China bagi menjalani latihan intensif selama setahun, yang merangkumi teori, praktikal dan pengalaman sebenar dalam operasi rel.
“Kita menjangkakan 1,800 tenaga kerja diperlukan untuk fasa operasi ECRL yang bermula para Januari 2027 dan 80 peratus daripadanya akan diisi oleh warga tempatan.
“Tenaga kerja ini akan terdiri daripada pelbagai tahap kepakaran, meliputi pekerja berpengalaman dan pekerja baharu, bagi memastikan operasi ECRL dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan.
“Apa yang lebih penting, para pelatih ini dijamin peluang pekerjaan dengan ECRL selepas tamat latihan. Ini bukan sekadar latihan dan ini adalah laluan kerjaya sebenar,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL, di sini pada Selasa.
Menjelaskannya, Anthony Loke memberitahu, latihan tersebut melibatkan pelbagai bidang seperti penolong pemandu tren juruteknik isyarat, juruteknik overhead line dan Penyelenggaraan EMU & E-Loco dengan kumpulan pertama seramai 102 orang dijadual berlepas ke China bermula 15 Mei ini.
“Ini peluang besar untuk anak-anak muda kita membina kerjaya dalam industri rel moden. Apa yang lebih penting, para pelatih ini dijamin peluang pekerjaan dengan ECRL selepas tamat latihan. Ini bukan sekadar latihan dan ini adalah laluan kerjaya sebenar,” ujar Anthony Loke.
Menurut beliau lagi, inisiatif itu turut disokong oleh Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang mula diperkenal sejak 2017 dan kini memberi tumpuan khusus kepada latihan untuk fasa O&M.
Penubuhan syarikat operasi serta latihan berstruktur itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan projek mega ECRL bukan sahaja membina jaringan rel moden, malah membina masa depan rakyat Malaysia, katanya.
#Projek Laluan Rel Pantai Timur #ECRL #Anthony Loke #peluang pekerjaan