Malaysia dijangka memuktamadkan perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada awal April dengan penjimatan kos kira-kira RM10 bilion, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, projek itu, yang semakin hampir menjadi realiti, akan memiliki elemen komersial baharu yang dapat memberi impak positif lebih besar kepada syarikat dan rakyat Malaysia.

"Bila kita berbincang, kita berunding, dan saya suka buat perjanjian komersial...(supaya) macam-macam lagi (projek) akan masuk dan kita mendapat untung yang lebih banyak," katanya dalam temu bual di sebuah stesen televisyen swasta hari ini.

Mengulas mengenai status rundingan tersebut, Daim berkata kerajaan China sudah menjemput Malaysia untuk ke sana pada 2 April bagi memuktamadkan projek berkenaan.

"Namun, ia tidak akan dilaksanakan pada hari itu sebaliknya pada minggu yang sama.

"Alhamdulillah, dalam keadaan sekarang, mungkin kita dapat selesaikan secepat mungkin...saya dengan mereka (kerajaan China) mempunyai hubungan yang baik kerana sudah lama kenal sejak 1971. Mungkin mereka selesa dengan saya. Saya orang lama," katanya.

Daim merupakan seorang perunding dua hala bagi Malaysia sejak 1981 dan beliau telah menjadi wakil (perunding dua hala) bagi urusan Malaysia dengan negara antaranya Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan England.

Projek ECRL sebelum ini telah diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2016, dengan melibatkan kos RM55 bilion.

Kos tersebut kemudiannya dikatakan boleh mencecah RM130 bilion dengan mengambil kira faedah ditanggung daripada pinjaman pembiayaan projek berkenaan.

Projek rel sepanjang 688 kilometer itu dirancang bagi menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan dan dijangka siap menjelang 2024.