KUANTAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang rancak dalam pembinaan membuka ruang kepada pekerja tempatan untuk menimba pengalaman selain meneroka kemahiran baharu.

Perkara itu diakui A. Gunaseelan, 40, yang bertugas sebagai penyelia pengimpal di tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di Gebeng, di sini yang menganggap ia sebagai peluang keemasannya untuk menerima pengalaman baharu setelah 15 tahun terlibat dalam bidang kimpalan.

Anak kelahiran Taiping, Perak itu berkata projek mega yang menggunakan peralatan canggih dan terkini membolehkan beliau menambah pengetahuan baharu dalam kerjayanya.

"Sebelum ini sekiranya saya menggunakan mesin masih terdapat kerja-kerja perlu dilakukan secara manual, tetapi mesin ini kurangkan tenaga kerja manusia sekali gus memudahkan dan mempercepat kerja untuk mengimpal rel.

"Pengendalian mesin itu dapat memberi nilai tambah dalam kerjaya saya dan sudah tentu berguna pada masa akan datang," katanya yang bertugas di bengkel kimpalan rel di situ sejak enam bulan lepas.

Gunaseelan ditemui pemberita semasa lawatan media di tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di sini, semalam dan pengamal media turut diberi peluang meninjau pusat kawalan operasi pembinaan landasan, bengkel pengeluaran sleeper kereta api serta menaiki lokomotif diesel ECRL.

Sebagai anak Malaysia, dia berbangga apabila dapat terlibat dalam merealisasikan projek infrastruktur berimpak tinggi yang dijangka beroperasi pada Januari 2027 dan menawarkan perkhidmatan kereta api penumpang pada kelajuan 160 kilometer per jam (km/j) serta kereta api kargo dengan kelajuan 80km/j itu.

Turut tidak mahu terlepas peluang terlibat dalam projek bersejarah itu ialah Nor Azlin Nadira Abd Rahman, 30, yang berperanan sebagai juruukur bahan dan menggalas tugas meneliti pengurusan kos, kontrak serta aspek kewangan projek sejak setahun lepas.

Nor Azlin Nadira yang berasal dari Dungun, Terengganu berkata projek itu telah memperkaya pengetahuannya dalam pemasangan landasan kereta api dari segi teknikal dan pengunaan teknologi dari China.

"Projek ini yang pertama di Malaysia mempunyai bengkel pembuatan pengalas landasan dan bengkel kimpalan rel di tapak bina projek. Selain itu kerja pemasangan landasan ini menggunakan mesin dari China iaitu track laying machine yang mampu memasang rel berukuran 500 meter pada tiap-tiap satu masa.

"Secara tidak langsung saya mendapat manfaat dengan melihat bagaimana projek ini dibangunkan dan aspek teknikal yang digunakan, selain itu persekitaran kerja ini juga memberi peluang saya untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dengan rakan sekerja dari China.

"Secara keseluruhan, bekerja di sini tidak hanya meningkatkan pengetahuan teknikal, tetapi juga memberi sumbangan kepada perkembangan peribadi dan kerjaya," katanya.

Projek ECRL merangkumi rangkaian rel sepanjang 665km akan merentasi negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia selain membuka peluang pekerjaan sekitar 23,000 pekerja dalam tempoh puncak pembinaannya.

ECRL merupakan projek milik Malaysia Rail Link Sdn Bhd iaitu syarikat berkeperluan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan projek itu.

-- BERNAMA