MALAYSIA

Eda Ezrin minta ruang, mohon jangan diganggu

Sinar Harian 08/08/2025 | 03:50 MYT
Eda Ezrin (kiri) bersama ibunya Zahara Mamat, 47, setelah selesai diambil keterangan oleh pihak polis selama lebih tiga jam di Balai Polis Rantau Panjang malam Khamis. - Foto/ Bernama.
KOTA BHARU: Penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, memohon diberi ruang sementara menunggu suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, yang masih berada di Depot Tahanan Imigresen Golok bagi menyelesaikan urusan dokumentasi sebelum dibenarkan pulang.


Ringkasan AI
  • Eda Ezrin memohon diberi ruang dan memilih untuk berdiam diri sementara menunggu suaminya, Mohd Affendi Ahmad, menyelesaikan urusan dokumentasi di Depot Tahanan Imigresen Golok.
  • Dia kembali ke pangkuan keluarga di rumah ibu mentuanya di Kota Bharu selepas sembilan bulan ditahan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat dan selesai memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang.
  • Suami dan tiga individu lain masih berada di Depot Tahanan Imigresen Golok, manakala Eda Ezrin hanya akan berbincang dan mengumpulkan keluarga selepas semua urusan selesai.


Menurut sumber terdekat, Eda Ezrin memilih untuk berdiam diri buat sementara waktu.

"Dia tunggu suami pulang ke sini (Kelantan). Kemudian akan bincang dengan suaminya, bila selesai semua itu barulah kumpul keluarga pula.

"Buat masa sekarang Eda Ezrin mohon jangan diganggu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Eda Ezrin kembali ke pangkuan keluarga tercinta pada jam 11.40 malam setelah sembilan bulan berada di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.

Ibu kepada dua anak berusia lima dan sembilan tahun itu dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga selepas merakam keterangan di Balai Polis Rantau Panjang lebih tiga jam bersama rakannya, Nur Aida Mamat, 33.

Bagaimanapun, suami Eda Ezrin, Mohd Affendi, Eridieka Mohd Noor, 33, Zuhaira Nasrin, 26, dan Mohamad Alif Deraman, 33, masih berada di Depot Tahanan Imigresen Golok untuk urusan dokumentasi sebelum dibenarkan pulang.

Eda Ezrin memilih pulang ke rumah ibu mentuanya di Kota Bharu.

Sebelum ini, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat pada Rabu.

Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada Rabu. - Sinar Harian






#Eda Ezrin #kes dadah #Thailand #Kelantan