Edar dadah: Isteri terlepas tali gantung, suami diarah bela diri

Shuhada Abdul Kadir
Januari 10, 2023 06:07 MYT
Mohd Salleh Meerasha diarah membela diri di atas pertuduhan yang telah dipinda selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. - Gambar Astro AWANI
AYER KEROH: Seorang suri rumah tidak dapat menahan air mata apabila terlepas daripada hukuman gantung atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Keputusan terhadap tertuduh, Nurul Shakila Mohd Ikram Rajoo, 31, yang didakwa bersama suaminya atas pertuduhan sama itu diputuskan Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid selepas mendapati wanita itu tidak mempunyai niat bersama melakukan kesalahan berkenaan.
Hakim Mohd Radzi, bagaimanapun, memerintahkan suami tertuduh, Mohd Salleh Meerasha, 34, untuk membela diri di atas pertuduhan yang telah dipinda selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis kanabis berat bersih 484 gram, kira-kira pukul 8.40 malam di Jalan A Eredia Road Portuguese Settlement dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Mei 2019.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Hakim Mohd Radzi turut memaklumkan, menerusi rakaman percakapan, Nurul Shakila memberitahu bungkusan dadah yang didakwa itu telah ada ketika dia menaiki kenderaan terbabit yang digunakan oleh suaminya sepanjang masa.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 23 Februari depan untuk perbicaraan bagi perintah membela diri.
Seramai lapan saksi pendakwaan dan 12 saksi pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 12 Oktober lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad, manakala tertuduh diwakili Peguam Andrew Lourdes.
#edar dadah #isteri terlepas tali gantung #suami diarah bela diri #Mahkamah Tinggi