IPOH: Tiga sekawan dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengedar dadah jenis ketamin seberat lebih 26 kilogram minggu lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada M. Thinesh, 21; M. Viknewaran, 25; dan M.Thinesh Kumar, 26; selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mereka didakwa mengedar ketamin seberat 26,178 gram di tepi jalan susur keluar sebelah kanan stesen minyak Petron, Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat, di sini pada 9.15 malam, 20 Sept lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh di hukum bawah Seksyen 39 B (2) akta sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dihukum tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam R R Segaran.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh dan menetapkan 26 Dis depan tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, Polis Perak merampas dadah jenis ketamin dan methamphetamine bernilai RM1,561,040 dalam dua serbuan pada 20 Sept lepas.

Sehubungan itu, lima suspek berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun ditahan dalam serbuan berasingan yang dilakukan di Kampung Gunung Rapat dan Kampung Rapat di sini.

-- BERNAMA